top of page

Nama Tuhan Bhg. 2



Yesaya 9:6 (TB) (9-5) Sebab seorang anak telah lahir untuk kita, seorang putera telah diberikan untuk kita; lambang pemerintahan ada di atas bahunya, dan namanya disebutkan orang: Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal, Raja Damai.


Tahukah anda bahawa lambang identiti, keperkasaan dan kemegahan bangsa Yahudi adalah Bait Suci Yerusalem? Itulah sebabnya ketika bait suci ini dihancurkan pada tahun 586 SM dan tahun 70 M, orang-orang Yahudi menjadi lemah dan hilang motivasi kerana lambang identiti dan keperkasaan mereka hilang. Mereka menjadi tawanan bangsa asing dan tercerai-berai. Mereka terlalu bergantung kepada bangunan. Mengapa? Kerana di bangunan inilah mereka mendapat pengampunan dosa melalui ritual korban.


Tanpa bangunan, tidak ada ritual. Maka, tidak ada pengampunan dosa. Namun, ketika ritual dapat dijalankan, maka ada perdamaian yang wujud antara umat Israel dengan Allah selama setahun. Itulah sebabnya ritual korban ini tidak ada habis-habisnya, diulang-ulang setiap tahun supaya umat Israel yakin bahawa mereka berkenan kepada Allah. Apabila ada perkenanan, mereka yakin Allah akan memberikan mereka hikmat, kekuatan, kasih dan damai sehingga apa saja yang mereka perbuat, diberkati Allah. Ketika bangunan ini hancur, mereka terputus hubungan dengan Allah - tidak ada lagi hikmat, kekuatan, kasih dan damai yang terbuka. Sungguh menyedihkan bukan?


Namun Allah telah memberikan jalan penyelesaian yang jauh lebih baik melalui nubuatan Yesaya di atas. Betapa baiknya Tuhan kita! Apakah yang telah Allah lakukan? Allah telah memindahkan sumber identiti, kemegahan dan keperkasaan orang-orang Yahudi (sekarang termasuklah semua bangsa) daripada sebuah bangunan kepada seorang peribadi iaitu Yesus Kristus nama-Nya. Bangunan boleh hancur, tetapi Yesus Kristus tidak, bahkan Dia mengalahkan kuasa kematian dengan bangkit dari kubur untuk menebus kita! Yesus Kristus hidup sampai sekarang sebagai pengampunan dosa kita sekali untuk selamanya. Itulah sebabnya hikmat, kekuatan, kasih dan damai bagi kita sekarang ini tidak akan pernah berkesudahan. Selagi Yesus Kristus hidup, selagi itulah semuanya ini akan mengalir dalam hidup kita yang percaya kepada-Nya.


Disebabkan telah berlaku perpindahan daripada bangunan kepada peribadi, maka hubungan kita terhadap Tuhan tidak lagi bersifat ritual tetapi relasi. Segala sesuatu telah menjadi baru kerana kasih karunia Allah. Kalau kita perlu hikmat, Yesus adalah Penasihat Ajaib kita. Kalau kita perlukan kekuatan, kasih dan damai, Dia adalah Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal dan Raja Damai bagi kita. Sekarang, semuanya berbentuk hubungan dengan Dia, cukuplah sudah kekristianan kita yang hanya bersifat ritual.


Saya ingin mengajak anda semua masuk ke tahun yang baru ini dengan mengisytiharkan bahawa nama Tuhan - Penasihat Ajaib, Allah yang Perkasa, Bapa yang Kekal dan Raja Damai bersama-sama dengan kita. Hikmat, kekuatan, kasih dan damai yang kita perlukan di tahun yang baru ini kita perolehi dalam nama Tuhan Yesus, amen! Selamat tahun baru 2024!


Pr Roy Dinsim


Comments


bottom of page