![](https://static.wixstatic.com/media/f9523a_e42fed8e5b934c8e9513654c26b2e467~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/f9523a_e42fed8e5b934c8e9513654c26b2e467~mv2.jpg)
“Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu. Yesaya 40:31 AVB
Pemazmur memberikan peringatan kepada setiap kita agar kita tidak sesekali terburu-buru untuk membuat apa-apa keputusan dalam hidup kita. Sebaliknya, kita haruslah sentiasa sabar dan tabah menghadapi segala sesuatu dalam hidup ini, tanpa membuat sesuatu keputusan mengikut emosi sendiri.
Sebab setiap orang yang menanti-nantikan Tuhan dalam hidupnya akan memperoleh kekuatan baru daripada Tuhan. Mereka bagaikan burung rajawali yang terbang tinggi dengan menggunakan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak menjadi letih, mereka juga akan berjalan dan tidak menjadi lelah, kerana Tuhan membaharui kekuatan mereka.
Oleh itu, kita haruslah bergantung sepenuhnya pada Tuhan untuk memperoleh kekuatan baru. Dengan mengandalkan kekuatan daripada Tuhan, kita akan tetap kuat dan bersemangat dalam perjalanan iman kita. Sebab apabila kita mengandalkan kekuatan dan hikmah manusiawi, kita akan mudah sahaja menjadi lemah dan letih.
Marilah kita menantikan Tuhan dengan tetap berharap sepenuhnya kepada Tuhan untuk memberi kita kekuatan. Kita hanya bersandar pada Tuhan untuk bertindak bagi pihak kita, kerana dalam Dia kita pasti kuat.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan daripada-Mu. Ajarlah aku untuk menantikan-Mu, agar dalam setiap perkara aku akan bertindak menurut pimpinan dan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments