“…Dia mesti menasihati lawannya dengan lemah lembut. Mudah-mudahan Allah memberi mereka peluang untuk bertaubat daripada dosa dan untuk mengenal ajaran yang benar. Lalu mereka akan insaf dan terlepas daripada perangkap Iblis yang telah menawan dan memaksa mereka mengikut kehendaknya.....” 2 Timotius 2:25-26
Paulus menasihati Timotius sebagai hamba Tuhan supaya mengajar dan menunjukkan kesalahan mereka yang suka melawan dengan lemah-lembut. Dengan harapan agar Tuhan bekerja dalam hati mereka sehingga memimpin mereka untuk bertaubat dan menerima ajaran yang benar.
Dengan ajaran dan teguran Timotius, mereka akan insaf kembali dan dapat melepaskan diri dari jerat Iblis yang telah menawan hati mereka untuk melakukan keinginannya. Mereka yang suka melawan bukanlah kerana keinginan diri mereka sendiri, tetapi kerana mereka membiarkan Iblis menipu dan mengikat diri mereka sehingga mereka menjadi kaki-tangannya.
Oleh itu, marilah kita membiarkan Roh Tuhan menguasai hidup kita dengan terus mengajar, menegur, dan menunjukkan kesalahan mereka yang suka melawan kita dengan kebenaran Firman Tuhan dan bukan mengikut emosi dan perasaan kita. Dengan campur tangan Tuhan, kita mampu untuk menolong mereka.
Doa:
Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon hikmat dan kekuatan agar saya sentiasa peka dengan Roh-Mu untuk menolong mereka yang suka melawan. Tuhan, kuasailah saya agar perkataan dan ajaran saya sesungguhnya daripada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments