
1 Samuel 28:3, 8, 10-15 (AVB)
3Adapun Samuel sudah mati dan seluruh Israel meratapinya. Mereka telah menguburkannya di Rama, di kotanya. Pada masa itu juga Saul telah menyingkirkan pemanggil arwah dan ahli sihir dari negeri itu. 8Saul pun menyamar dengan mengenakan pakaian lain lalu pergi dengan disertai oleh dua orang. Pada malam hari sampailah mereka di kediaman wanita itu. Kata Saul, “Tenunglah untukku dengan perantaraan arwah. Hadirkan bagiku orang yang akan kusebut kepadamu.” 10Maka bersumpahlah Saul kepadanya demi TUHAN, katanya, “Demi TUHAN yang hidup, engkau tidak akan terkena hukuman kerana hal ini.” 11Tanya perempuan itu, “Siapakah yang harus kuhadirkan untukmu?” Jawabnya, “Hadirkanlah Samuel bagiku.” 12Ketika perempuan itu melihat Samuel, dia pun menjerit dengan suara yang nyaring. Perempuan itu berkata kepada Saul, “Mengapakah tuanku memperdaya hamba? Tuanku ialah Saul!” 13Kata raja kepadanya, “Jangan takut. Apakah yang kaulihat?” Kata perempuan itu kepada Saul, “Hamba melihat sesuatu roh muncul dari dalam bumi.” 14Saul bertanya, “Bagaimanakah rupanya?” Jawabnya, “Ada seorang tua muncul. Dia diselubungi sehelai jubah.” Saul tahu bahawa itulah Samuel. Lalu dia membongkok dan sujud memberi hormat. 15Berkatalah Samuel kepada Saul, “Mengapakah engkau mengganggu aku dengan menghadirkan aku?” Jawab Saul, “Aku sedang dalam keadaan tersepit lantaran orang Filistin memerangi aku, sedangkan Allah telah menjauhi aku dan tidak lagi menjawab aku, sama ada dengan perantaraan para nabi atau melalui mimpi. Oleh sebab itu aku memanggil engkau supaya engkau memberitahukan kepadaku apa yang harus kulakukan.”
Pengajaran/ Refleksi
firman tuhan melarang setiap umat-nya untuk memanggil arwah orang yang telah meninggal supaya kita tidak menjadi najis. carilah tuhan allah yang hidup yang dapat membantu kita bila-bila masa.
Jangan menggunakan khidmat pemanggil arwah dan para ahli sihir. Jangan mencari mereka sehingga kamu tercemar kerana mereka. Akulah TUHAN, Allahmu. (Imamat 19:31 AVB)
Carilah Tuhan dan panggillah Dia semasa engkau dalam kesesakkan. Tuhan sedia untuk menolong kita yang minta tolong. Tuhan penolong kita yang setia dan lemah lembut. Halleluya dan amin!!
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini ya Bapa yang mengajar kami. Berkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani ya TUHAN terutamanya mereka yang membaca renungan ini. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments