top of page

Pemazmur Memikirkan Kelakuannya


Perubahan dalam kehidupan seseorang dapat terjadi apabila seseorang itu sentiasa menyelidiki dirinya secara peribadi. Dengan mencerminkan dirinya pada kebenaran Firman Tuhan, maka perubahan yang baik pasti akan terjadi. Sebab menyelidiki diri secara peribadi berdasarkan pada kebenaran Firman Tuhan akan menghasilkan kesedaran dalam diri untuk berubah.


Itulah sebabnya pemazmur berkata kepada kita bahwa dia "...telah memikirkan kelakuannya atau jalan-jalan hidupnya, lalu berjanji akan menurut peraturan-Mu..." (Mazmur 119:59). Dengan kata lain, dia melangkah kakinya menuju peringatan-peringatan Tuhan.


Kata "...aku telah memikirkan kelakuanku..." merujuk kepada tindakan pemazmur tentang janjinya untuk berpegang teguh kepada kebenaran Firman Tuhan setelah menyelidiki kelakuannya. Oleh kerana dia telah memikirkan jalan-jalannya dengan sungguh-sungguh, maka dia mengarahkan langkah kakinya pada kebenaran Firman Tuhan.


Bagi pemazmur, memikirkan apa yang telah dia lakukan pada masa lalu dan mencerminkan jalan masa lalunya pada kebenaran Firman Tuhan mengubah hidupnya. Dia ingat segala jalan yang telah ditempuhnya dan langkah-langkah yang telah diambil selama ini telah mendorong dirinya untuk tetap dalam kebenaran Firman Tuhan.


Dengan itu, dia memutuskan untuk menjadikan Firman Tuhan sebagai peraturan bagi dirinya dan aturan bagi jalan hidupnya, supaya dia akan berbalik daripada jalannya yang salah, yang menyimpang daripada kebenaran Firman Tuhan, lalu melangkah kembali kepada peringatan-peringatan Tuhan.


Untuk menghasilkan keputusan yang baik bagi mengubah kehidupan peribadi seseorang, maka seseorang itu perlu memikirkan jalan-jalannya setiap hari dengan berpandu kepada kebenaran Firman Tuhan.

Oleh itu, apakah anda selama ini telah menyelidiki jalan-jalan anda pada kebenaran Firman Tuhan dan mengubahnya?


Doa: Bapa yang di surga, saya datang kepada-Mu, memohon bimbingan-Mu ke atas hidup saya, tolong saya untuk melihat keadaan hidup saya yang tidak betul dan mengubahnya menurut Firman-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page