“Apabila kamu mendengar peperangan dan desas-desus peperangan, jangan gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman. Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di merata-rata, dan juga kebuluran. Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin. (Markus 13:7-8)
Nubuatan akhir zaman kedua ini disertai dengan peringatan dan dorongan, “jangan gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman.”
Pada 24hb Januari 2022, Rusia melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara Ukraine. Ribuan orang awam termasuk tentera terkorban. Kemajuan teknologi media hari ini membantu kita bukan hanya mendengar tetapi melihat, “bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan,” dan semua ini terjadi didepan mata kita.
Banyak kematian akibat wabak penyakit covid-19. Bencana alam juga telah meragut jutaan nyawa dan kematian akibat kebuluran kian meningkat di zaman modern ini. Ulangan 32: 24-25, juga menegaskan hal ini; “mereka akan lemas kerana kelaparan, dimamah oleh demam dan wabak yang dahsyat. Aku akan melepaskan binatang buas yang bertaring kepada mereka serta binatang melata yang berbisa di tanah.”
Penggenapan nubuatan ini sudah tentu membuat ramai orang bimbang dan takut. Bagaimana dengan anda? Apakah respon kita ketika melihat nubuatan ini sedang digenapi di depan mata kita? Tujuan nubuatan ini secara khusus ialah sebagai peringatan dan dorongan; “jangan gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman.” Pada masa yang sama nubuatan ini mengingatkan kita untuk waspada atau berjaga-jaga. Lukas 21:36, “Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Anak Manusia."
DOA: Bapa sorgawi, kiranya kami dikuatkan menghadapi hari-hari yang semakin sukar ini dan berikanlah kami hati seorang murid yang siap belajar dan menilai keadaan zaman dengan kebijaksanaan. Jangan biarkan kami mengalami ketakutan yang melampau melihat keadaan sekeliling kami tetapi berikan kami hikmat agar kami menghitung hari-hari kami dengan takut akan nama-Mu. Dalam nama Yesus kami berdoa, Amen.
Eddy M. Yasir
Comments