Bacaan Alkitab: Mazmur 16-25
“Ini tidak adil” adalah frasa yang biasa kita dengar dari semasa ke semasa. Dalam dunia ini di mana kejayaan khususnya diukur oleh kekayaan dan kuasa, mereka yang mengejarnya biasanya tidak berlaku adil. Kejahatan manusia dipergiatkan lagi oleh kuasa gelap si jahat. Jauh di lubuk hati manusia, ada tangisan untuk keadilan. Kita berharap untuk mempunyai seorang wira yang akan mengusir orang jahat, dan memulihkan keadaan dalam masyarakat, dan kita berharap orang yang baik akan hidup bahagia selama-lamanya.
Harapan sebegitu bukanlah pemikiran secara rambang oleh mereka yang menderita. Ia adalah bahagian penting dalam kemanusiaan. Tuhan menciptakan alam semesta dengan susunan yang tepat, dan manusia diberi tanggungjawab untuk memelihara ciptaan menurut kehendak Tuhan yang sempurna. Sudah menjadi lumrah bagi manusia untuk mencari keadilan, ketertiban, kebaikan, dan sifat-sifat Pencipta yang lain. Cerita Kristian adalah cerita Tuhan memulihkan seluruh dunia kepada keadaan “bahagia selamanya.”
Namun, plot cerita Kristian tidak sesingkat Avengers, Narnia, atau Lord of the Rings. Walaupun wira utama telah dilemparkan (Yesus disalib, dibangkitkan, dan diangkat), plot kecil yang lain masih diteruskan. Kita hidup dalam plot ini di mana kita terus bergelut dengan ketidakadilan, kezaliman, dan kejahatan manusia. Tetapi seperti dalam mana-mana cerita yang baik, mereka yang bekerjasama dengan sang wira akan menang.
Pemazmur mengingatkan kita bahawa Tuhan adalah gunung batu, kubu pertahanan, dan penyelamat kita (Mazmur 18:2). Dunia mungkin menjadi huru-hara dan kucar-kacir. Tetapi Penebus kita akan beroleh kemenangan dan memperbetulkan keadaan pada waktu-Nya. Latar belakang perjuangan kita adalah kemenangan Yesus, dibuktikan oleh kubur yang kosong.
Doa:
Tuhan Yesus, ketika kami menghormati Engkau sebagai Ketua Pasukan kami, Kepala kami, dan Panglima Tentera kami, kami yakin dengan kemenangan terakhir. Jadikan kami pengikut setia dan pemain pasukan-Mu sehingga ke akhir hayat kami. Amin.
Rev Dr Victor Lee, NECF
Comments