top of page

Penuh Roh Kudus: Makna #2


Matius 4:3-4 (TB) Lalu datanglah si pencoba itu dan berkata kepada-Nya: "Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah supaya batu-batu ini menjadi roti." Tetapi Yesus menjawab: "Ada tertulis: Manusia hidup bukan dari roti saja, tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Allah."


Makna #2: Orang yang penuh Roh Kudus adalah orang yang makan firman secara konsisten.


Saya percaya bahawa Yesus dicobai oleh Iblis setiap hari sepanjang 40 hari berada di padang gurun. Dia bukan sahaja mengalami derita secara fizikal tetapi secara mental juga. Secara fizikal, ada kesusahan yang datang dari keadaan padang gurun dan tidak makan apa-apa secara langsung. Secara mental, Dia dicobai oleh Iblis setiap hari. Ini sesuatu yang sangat berat secara manusiawi. Namun, apa yang menyebabkan Yesus begitu kuat menghadapi semuanya ini?


Jawapannya adalah firman. Yesus dicobai setiap hari namun hanya terdapat tiga pencobaan yang dicatat secara terperinci. Pada pencobaan yang pertama yang dipatahkan oleh Yesus, Dia merungkaikan sesuatu yang sangat penting; manusia hidup bukan dari roti saja, tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Allah. Apa yang Yesus ucapkan, itulah yang Dia lakukan. Yesus menang mengalahkan Iblis di padang gurun kerana Dia makan firman secara konsisten. Secara badani, Dia kosong kerana kelaparan. Secara mental, Dia keletihan kerana pencobaan. Namun secara rohani, Dia penuh kerana makan firman.


Tabiat Yesus penuh dengan firman ini bukanlah sesuatu yang baru dipupuk di padang gurun. Saya percaya, kebiasaan ini sudah dipupuk sejak Yesus kecil (Luk 2:40, 52). Ironinya, padang gurun telah mendorong Yesus menuai manfaat daripada kebiasaan-Nya memakan firman. Pencobaan dipatahkan dan Iblis dikalahkan. Keadaan Yesus yang keseorangan juga tanpa sedar menjadi satu kelebihan kerana Dia dapat memfokuskan semua firman yang dipegang-Nya tanpa gangguan.


Cabaran bagi generasi muda pada masa kini adalah media sosial. Saya merasakan bahawa anak-anak muda lebih banyak memakan kandungan media sosial daripada memakan firman sekiranya mereka tidak berhati-hati. Cuba kita perhatikan dan menyelidiki sendiri; berapa banyakkah masa yang kita habiskan untuk melayari media sosial berbanding merenungkan firman-Nya? Tidak hairanlah mengapa sebahagian besar dari kita tidak mampu mematahkan pencobaan.

Yesus mampu mengalahkan pencobaan kerana memakan firman secara konsisten. Dia mengasingkan diri atas pimpinan Roh Kudus supaya dapat memfokuskan firman. Saya dapati kehidupan era moden ini terlalu banyak gangguan sehingga kita tidak dapat memfokuskan satu-satu perkara yang ingin kita lakukan. Kita perlu makan firman secara konsisten setiap hari dan menyingkirkan gangguan seminimal yang boleh agar masa yang kita berikan kepada Allah dan firman-Nya bukanlah sisa. Tuhan memberkati.


Pr Roy Dinsim

Comments


bottom of page