top of page

Penuh Roh Kudus: Makna #3


Lukas 4:1-2 (TB) Yesus, yang penuh dengan Roh Kudus, kembali dari sungai Yordan, lalu dibawa oleh Roh Kudus ke padang gurun. Di situ Ia tinggal empat puluh hari lamanya dan dicobai Iblis. Selama di situ Ia tidak makan apa-apa dan sesudah waktu itu Ia lapar.


Makna #3: Orang yang penuh Roh Kudus adalah orang yang membuat pilihan dengan tepat.


Yesus diperhadapkan dengan tiga pilihan semasa di padang gurun iaitu sama ada Dia perlu memilih keinginan Roh Kudus (firman), keinginan Iblis (tawaran daripada pencobaan) ataupun keinginan daging (Yesus kelaparan). Yesus perlu membuat satu pilihan dari ketiga pimpinan (dorongan) ini dan Yesus telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih Roh. Pilihan Yesus yang tepat telah membungkamkan kelicikan Iblis dan menyebabkan malaikat-malaikat melayani Dia (Mat 4:11).


Penuh dengan Roh Kudus tidak bermaksud Roh Kudus akan membuat segala keputusan untuk hidup anda. Di sinilah ramai orang Kristian membuat kesilapan. Mereka menyangka bahawa ketika penuh dengan Roh ataupun ketika sudah menjadi orang Kristian, mereka tidak perlu lagi membuat keputusan dalam kehidupan. Roh Kudus hanya memimpin, kitalah yang memutuskan untuk mengikuti-Nya atau tidak. Penuh Roh Kudus tidak menjadikan kita malas apa lagi dalam hal membuat pilihan penting dalam kehidupan. Itulah sebabnya ramai orang Kristian tersilap langkah kerana tidak memahami kebenaran ini.


Demikian juga dengan kepenuhan Roh Kudus. Hal ini juga tidak berlaku secara tiba-tiba. Memiliki Roh Kudus merupakan suatu anugerah atau karunia, bukan hasil usaha atau perbuatan manusia. Namun, untuk penuh dengan Roh, itu merupakan suatu pilihan. Yesus memilih untuk dibaptis Yohanes sehingga Dia penuh dengan Roh. Kita juga demikian. Kita perlu memilih untuk menundukkan organ deria, memakan firman dan mengikuti dorongan Roh kalau mahu penuh dengan Roh.


Sekiranya kita menolak untuk membuat keputusan, hal lain akan membuat keputusan bagi kita, sama ada hal tersebut adalah keadaan, orang lain, dorongan Iblis atau dorongan daging. Pendek kata, kita membiarkan hal lain mempunyai autoriti dalam hidup kita. Jangan biarkan hal ini berlaku. Penuh Roh Kudus adalah suatu pilihan. Izinkanlah diri kita berhubung dan bekerjasama dengan-Nya. Lagipun, itulah yang sepatutnya bagi orang percaya kerana kita adalah bait-Nya (1 Kor 6:19). Tuhan memberkati!

Pr Roy Dinsim

Comments


bottom of page