Lukas 4:1 (TB) Yesus, yang penuh dengan Roh Kudus, kembali dari sungai Yordan, lalu dibawa oleh Roh Kudus ke padang gurun.
Kita teruskan dengan mitos yang kedua tentang kepenuhan Roh Kudus;
Mitos #2: Penuh Roh Kudus itu bererti keadaan hidup yang aman dan baik-baik sahaja.
Penuh Roh Kudus tidak menjamin keamanan dan kehidupan yang baik-baik sahaja. Mengapa? Mari kita belajar dengan orang yang penuh dengan Roh Kudus iaitu Yesus sendiri. Setelah Yesus penuh dengan Roh Kudus, Dia dibawa oleh Roh ke padang gurun. Ya betul, padang gurun.
Padang gurun bukanlah suatu tempat yang enak. Pada waktu siang, suhu di padang gurun boleh mencapai 40 darjah celsius atau lebih manakala pada waktu malam, suhu boleh mencapai 0 darjah celsius atau lebih rendah lagi. Bayangkan Yesus tinggal di situ selama 40 hari dan 40 malam. Selama di padang gurun, Yesus terdedah dengan bahaya binatang-binatang liar (Mar 1:13), bahaya keadaan kering dan sumber air serta makanan yang sangat minimal. Yesus juga terasing daripada orang ramai. Pendek kata, padang gurun bukanlah tempat yang normal dan serasi untuk penghidupan manusia.
Apakah prinsip penting yang boleh kita pelajari daripada situasi ini? Penuh Roh Kudus tidak bergantung kepada keadaan yang baik-baik sahaja. Maksudnya, kita boleh penuh dengan Roh Kudus dalam keadaan yang sulit atau tidak menyenangkan sekalipun. Keadaan tidak menentukan kepenuhan Roh Kudus. Ada hal lain yang menyumbang kepada kepenuhan Roh Kudus, yang pasti keadaan bukan salah satunya. Jangan mengandalkan keadaan sama ada baik atau buruk untuk penuh dengan Roh Kudus.
Pr Roy Dinsim
Comments