Pertimbangan Yang Tidak Diperkenan Tuhan
- Komuniti Digital 03
- Dec 24, 2024
- 1 min read

[Yusuf] memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. (Matius 1:20 AVB)
Apabila Yusuf mendapati bahawa tunangnya telah mengandung, dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya dan segera membuat pertimbangan dalam hatinya untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria. Pertimbangan ini dibuat berdasarkan hikmah peribadinya tanpa membawa perkara tersebut kepada Tuhan untuk mendapatkan bimbingan dan petunjuk-Nya.
Dalam hatinya Yusuf berbisik, "Aku akan memutuskan pertunangan ini dengan Maria secara diam-diam kerana aku tidak mahu mencemarkan nama baiknya di mata masyarakat." Oleh itu, dia berniat untuk memutuskan hubungan itu secara rahsia.
Namun begitu, pertimbangan Yusuf itu tidak selari dengan kehendak Tuhan bagi dirinya. Maka Tuhan menyatakan rancangan-Nya melalui malaikat dalam mimpi. Tuhan menjelaskan tujuan-Nya yang lebih besar, bukan sahaja untuk Yusuf tetapi juga untuk seluruh dunia. Yusuf akhirnya mengubah keputusannya dan mematuhi kehendak Tuhan.
Demikian juga dengan kita pada hari ini. Dalam hidup kita sering berhadapan dengan pelbagai perkara yang memerlukan pertimbangan yang bijak. Sesungguhnya, kita harus mencari hikmah daripada Tuhan agar setiap keputusan kita diperkenan-Nya dan tidak merugikan diri sendiri atau masa depan kita.
Carilah Tuhan dalam setiap cabaran hidup agar keputusan kita tidak bertentangan dengan rancangan-Nya.
Doa:Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku untuk memahami jalan-Mu agar aku tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments