' ... jika Kristus tidak dibangkitkan ... Maka mereka juga yang telah mati dalam Kristus telah binasa.' (1 Korintus 15:12-22, vv.17-18).
Mesej daripada teks 'dalam Kristus' yang kita baca adalah bahawa sekiranya tidak kerana kebangkitan Tuhan kita, mereka yang telah mati dalam Kristus akan hilang selama-lamanya. Saya amat menyukai deskripsi Paulus mengenai kematian sebagai 'tidur'. Salah satu ciri paling penting dalam kekristianan awal adalah ia mengubah pandangan manusia mengenai kematian. Dunia pagan menganggap kematian sebagai pengakhiran segalanya. Ia adalah musuh yang akhirnya akan memusnahkan semua orang. Tetapi dalam Kristus, pemikiran mengenai kematian telah direvolusikan. Kematian bukan lagi pengakhiran. Bagi orang percaya, kematian adalah tidur di dunia ini dan bangun di dunia yang jauh lebih baik.
Adakah anda perhatikan pelbagai cara Perjanjian Baru menyebut mengenai kematian? Matius memberitahu kita, bukan bahawa Yesus mati, tetapi bahawa Dia menyerahkan roh-Nya (Mat. 27:50). Apabila martir Kristian pertama, Stefanus, dilempari batu hingga mati, kita tidak membaca bahawa dia mati, tetapi bahawa dia berdoa, '"Tuhan Yesus, terimalah rohku." ... Setelah dia berkata demikian, dia tertidur' (Kisah Para Rasul 7:59-60). Yesus berkata tentang kematian Lazarus, 'Sahabat kita Lazarus telah tertidur; tetapi Aku akan ke sana untuk membangunkannya' (Yohanes 11:11). Dan Paulus, ketika dia merenungkan kematiannya, menyatakan, '... aku ingin berangkat dan bersama dengan Kristus, yang jauh lebih baik ...' (Filipi 1:23).
Jelas sekali, konsep baru mengenai kematian telah diterima oleh mereka yang mengenal Yesus Kristus. Dan kerana mereka menolak idea lama mengenai kematian, perbendaharaan kata juga perlu diubah. 'Kematian' hilang daripada perbendaharaan kata Kristian kerana ia hilang daripada pengalaman Kristian. Orang Kristian tidak mati; mereka hanya tidur. Perbendaharaan kata berubah untuk menyesuaikan dengan fakta.
Renungan Lanjutan:
2 Kor. 5:1-8;
1 Tes. 4:13-18
Doa:
Tuhan, bantulah saya juga untuk mengubah perbendaharaan kata saya agar sesuai dengan fakta. Kematian hanyalah tidur di dunia ini dan bangun di dunia yang jauh lebih baik. Saya amat bersyukur. Terpujilah nama-Mu selama-lamanya. Amin.
Rev Gerawat Maran
Comments