Bacaan Alkitab : Lukas 11:34
Ayat Alkitab: Lukas 11:34, “Matamu adalah pelita tubuhmu. Jika matamu baik, teranglah seluruh tubuhmu, tetapi jika matamu jahat, gelaplah tubuhmu.”
Pemerhatian:
Zaman sekarang merupakan era kemajuan teknologi, digital dan artificial intelligent (AI). Kemajuan tersebut telah mengajak dan paling tidak, memaksa manusia untuk mengadaptasi diri dengan kecanggihan teknologi yang berkembang dengan begitu pesat. Antara yang turut mengalami lonjakan dalam dunia alam maya ialah teknologi media. Apakah erti media? Menurut Kamus Dewan, media bererti “alat atau pengantara komunikasi (perhubungan), seperti radio, televisyen dan akhbar”. Media massa ialah pelbagai jenis alat komunikasi (seperti radio, telefon, televisyen, majalah, surat khabar dan lain-lain, yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Manakala media sosial pula merupakan media yang paling aktif digunakan oleh orang ramai pada masa kini untuk bersosial.
Sejak bermulanya pengenalan platform media sosial di jaringan internet seperti Friendster pada suatu ketika dahulu, kemudian Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan TikTok, orang ramai lebih gemar untuk bersosial melalui alam maya tanpa perlu bersemuka. Komuniti alam maya ini dikenal sebagai ‘netizen’. Komunikasi menjadi sangat mudah, pantas dan menyenangkan. Penyampaian maklumat berada di hujung jari warga net. Tidak dinafikan media sosial sudah menjadi keperluan setiap orang di abad pasca-moden ini.
Penerimaan/Aplikasi:
Setiap perubahan dan kemajuan pasti akan meninggalkan jejak-jejak positif dan negatif. Media sosial juga tidak terkecuali dari memberi impak positif dan negatif kepada penggunanya. Di sisi negatifnya, platform media sosial seringkali menjadi tempat memaparkan isu-isu sosial seperti rasa tidak puas diri, masalah peribadi dan krisis rumah tangga dan bermacam-macam lagi. Ini hanya sebahagian daripada isu-isu harian yang mungkin kita ketahui.
Namun demikian, media sosial juga sebenarnya dapat memberi banyak manfaat jika digunakan dengan sikap bertanggungjawab dan memuliakan Tuhan. Media sosial sebenarnya dapat menjadi kelebihan yang baik bagi orang Krisstian. Injil Kristus dan berbagai bentuk pelayanan Kristian lainnya dapat disampaikan kepada orang ramai melalui media sosial. Misalnya, kebaktian umum dapat disiarkan secara langsung melalui medium Youtube dan dapat diakses oleh orang lain. Tuhan Yesus berkata, “Selama masih siang, kita harus mengerjakan pekerjaan Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba, dan seorang pun tak akan dapat bekerja” (BIS Yohanes 9:4). Orang Kristian harus merebut peluang yang ada untuk mengongsikan Injil Kristus dan kebaikan Tuhan. Dan platform media sosial turut merupakan peluang yang tepat juga untuk menyebarkan kebaikan Tuhan dan Injil keselamatan-Nya.
Penyataan / Deklarasi:
Marilah kita sebagai umat Kristian mengisytiharkan supaya orang Kristian menggunakan media sosial dengan kesedaran dan bertanggungjawab. Selain itu juga supaya orang Kristian menggenggam peluang dan ruang di alam maya ini untuk menyebarluaskan Injil Kristus dan kebenarannya bagi kemuliaan Tuhan kita, Yesus Kristus.
Bahan Doa
1. Berdoa agar orang Kristian yang aktif menggunakan media sosial untuk berinteraksi dan berkomunikasi di dalam alam maya memiliki hati yang takut akan Tuhan dan juga menjauhkan dosa.
2. Berdoa agar orang Kristian mempunyai kesedaran menggunakan media sosial dengan berhemah dan bertanggungjawab.
3. Berdoa agar orang Kristian sentiasa menerapkan sikap menjadi garam dan terang bagi dunia di dalam alam maya.
4. Berdoa agar orang Kristian yang menggunakan platform media sosial sebagai medium perniagaan dan pekerjaan mereka, beroleh keberhasilan dan keuntungan.
5. Berdoa bagi Kementerian Komunikasi yang diterajui oleh YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil supaya beliau diberikan Tuhan perlindungan, hikmat dan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas.
Doa Puasa Kebangsaan 31 Hari, Sidang Injil Borneo (SIB/BEM)
(Sabah, Sarawak, Semenanjung)
Comments