Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem. Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan ahli Taurat berhimpun lalu bertanya kepada mereka di mana tempat lahirnya Kristus, Mesias itu. Mereka menjawab, “Di Betlehem, di Tanah Yudea. Hal ini tertulis oleh seorang nabi: (Matius 2:3-5 AVB)
Sewaktu Raja Herodes dan semua penduduk Yerusalem mendengar berita kelahiran Yesus, mereka menjadi sangat risau. Sebab bagi Raja Herodes, kelahiran Yesus akan menggugat kedudukannya sebagai raja.
Kelahiran Yesus menyebabkan Raja Herodes menjadi sangat resah dan tidak tenteram. Bagi penduduk Yerusalem pula, kelahiran Yesus turut menimbulkan pengharapan tentang pembebasan mereka daripada penjajahan orang Romawi. Pengharapan ini muncul kerana mereka mahu Yesus menjadi Raja orang Yahudi lalu membawa bangsa Israel kembali menjadi bangsa yang unggul seperti pada zaman Raja Daud dan Raja Salomo.
Kerisauan Raja Herodes timbul kerana kelahiran Yesus di dunia ini akan menjadikan Dia sebagai Raja bagi orang Yahudi. Hal ini merupakan satu ancaman yang sangat besar terhadap kekuasaannya sebagai raja. Dengan itu, dia membuat rancangan di dalam hatinya yang tidak diketahui oleh sesiapa pun untuk membunuh Anak itu.
Akan tetapi, Tuhan mengetahui rancangan di dalam hatinya. Oleh itu, Tuhan berfirman kepada orang Majus melalui mimpi agar mereka tidak kembali kepada Raja Herodes. Orang Majus pun menggunakan jalan lain untuk pulang ke tempat asal mereka.
Oleh itu, janganlah risau tentang kelahiran Yesus kerana kelahiran Yesus pasti akan membawa berkat yang besar bagi hidup kita.
Doa:Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Engkau memberi aku damai dan sukacita sewaktu aku melihat orang lain diangkat oleh Tuhan dalam hal-hal tertentu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Terima kasih atas renungan ini. Tertarik dengan kandungan dan penggunaan bahasa Malaysia yang baik .