
Pada suatu hari Yesus berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Yesus, dia meniarap lalu merayu kepada-Nya, “Tuan, jika Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Lukas 5:12 AVB
Ketika seorang lelaki yang berpenyakit kusta (iaitu penyakit kulit yang sangat mengerikan) melihat Yesus di sebuah bandar, dia dengan serta-merta datang kepada Yesus lalu meniarap dan merayu kepada-Nya, “Tuan, jika Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.”
Dia memohon kepada Tuhan Yesus dengan hati yang sungguh-sungguh untuk menyembuhkan dirinya daripada penyakitnya. Atas kesungguhan hatinya Yesus pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga, penyakit kustanya hilang.
Setelah Yesus menyembuhkan lelaki tersebut, Yesus pun menyuruhnya, “Jangan beritahu sesiapa pun hal ini tetapi pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.”
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini sewaktu kita menghadapi masalah dalam hidup kita? Apakah yang kita lakukan? Adakah kita seperti lelaki yang berpenyakit kulit yang mengerikan, datang kepada Tuhan Yesus untuk memohon pertolongan-Nya? Bagi Tuhan Yesus tidak ada yang mustahil. Dia akan mendengar seruan kita dan siap menolong kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan segala cabaran hidupku. Tolonglah aku untuk mengatasi masalah yang aku hadapi pada saat ini. Aku memohon kekuatan dan ketabahan daripada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Commenti