top of page

Yesus "Bukan Tuhan" Menurut Siapa? (Episode 1)



Adakah Markus 10:18 menafikan keilahian Yesus?


Umat Kristian berpegang kepada kepercayaan bahawa Yesus itu Allah. Bahkan, kepercayaan ini adalah kepercayaan yang paling penting bagi Kristian. Tetapi, keilahian Yesus sering dipersoalkan, dan salah satu hujah yang sering kita dengar untuk menafikan keilahian Yesus Kristus ialah bahawa Yesus sendiri menafikan dirinya Allah. Mereka akan merujuk kepada injil Markus 10:17-18 dan berkata, "Hah! Inilah buktinya Yesus sendiri menafikan keilahiannya!" Jadi, Betulkah Markus 10:18 menafikan keilahian Yesus? Mari kita kaji sama-sama.


Markus 10: 17-18 (AVB)

Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, "Wahai Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?" Yesus berkata kepadanya, "Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah.


Dari ayat injil yang kita bacakan tadi, sesetengah orang akan menyatakan kata-kata Yesus seperti “Mengapa kamu mengatakan aku baik?” dan “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah sahaja” itu adalah satu indikator jelas yang menunjukkan kehambaan dirinya, hakikat dirinya sebagai seorang manusia yang kerdil di hadapan Allah yang Maha Esa. Kononnya, Yesus melepaskan diri daripada sebarang bentuk penghormatan kepada dirinya dan bahkan mengalihkan pula penghormatan tersebut kepada yang benar-benar berhak iaitu Allah, Sang Pencipta Alam. Ini kononnya sekaligus juga membezakan dirinya dengan Allah.


Secara ringkas, logiknya begini:

1. Yesus menafikan dirinya baik.

2. Satu-satunya yang baik hanyalah Allah.

3. Yesus bukanlah Allah.


Akan tetapi, adakah Yesus betul-betul menafikan dirinya "baik"? Sebenarnya tidak! Yesus tidak katakan "Saya bukan guru yang baik" atau "Jangan panggil saya guru yang baik". Apabila Yesus berbalas demikian, Yesus sebenarnya ingin mencetuskan pemikiran remaja itu melalui soalan, supaya remaja itu merenungkan atas maksud dan implikasi panggilan "guru yang baik". Pada zaman Yesus dulu, gelaran ‘baik’ itu hanya digunakan oleh guru-guru agama khas untuk Allah sahaja kerana ‘baik’ itu membawa maksud ‘tanpa dosa’ pada masa itu.


Jadi, jelaslah Yesus dari injil Markus 10:18 tidak menafikan dirinya baik. Bukan itu sahaja, dalam ayat-ayat Al-Kitab yang lain, Yesus Kristus sendiri menggelarkan dirinya "baik".


Dalam Yohanes 10:11 (AVB) Yesus berkata "Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya."


Kita imbas balik logik di atas:

1. Satu-satunya yang baik hanyalah Allah,

2. Yesus menyatakan bahawa dia adalah baik,

3. Yesus ialah Allah.


Jadi, menurut logik di atas Markus 10:18 sebenarnya mengesahkan bahawa Yesus adalah Allah, bukannya membuktikan Yesus bukan Allah!


Memang benar Yesus itu gembala yang baik, dan Dialah Tuhan dan gembala kepada kita sepertimana yang dinyatakan di Mazmur 23.


"Tuhan ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun......"


Selanjutnya, kalau ada orang mempersoalkan keilahian Yesus menggunakan Markus 10:18, haruslah kita mengajak dia untuk membaca injil Markus 2:3-11 juga, kerana petikan ini jelas menunjukkan bahawa Yesus mengaku dirinya Allah.


Markus 2:3-11 (AVB)

Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh. Mereka tidak dapat membawanya kepada Yesus kerana orang ramai itu. Oleh itu, mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.


Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Anak-Ku, dosamu telah diampunkan."


Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, "Lancangnya orang ini mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!"


Tetapi Yesus segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, "Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan kepada orang lumpuh itu:


'Dosamu telah diampunkan,' atau, 'Bangun, angkat tikarmu dan berjalan'? Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa..."


Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah."


Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu pun bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ tercengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, "Belum pernah kami lihat kejadian begini!"


Jadi, dari Markus 2:3-11, kita dapat lihat bahawa:


1) Hanya Allah sahaja yang boleh mengampunkan dosa.


2) Yesus berkuasa mengampunkan dosa. Seringkali, sebelum Yesus sembuhkan orang yg sakit, beliau telah mengampuni dosa-dosa secara terbuka di muka umum.


3) Yesus memiliki kuasa Allah kerana Dia adalah kalimat dan firman Allah yang telah turun dari Syurga. Ini cukup jelas dari Yohanes 3:13, Yohanes 6:33-35, 41-42, 48-51, Lukas 10:22 dan lain-lain.


Bukan itu sahaja, Yesus juga menggelarkan dirinya Anak Manusia.


Siapakah Anak Manusia itu?


Amat penting untuk kita memahami mengapa Yesus menggelar dirinya Anak Manusia. Umat Yahudi pada zaman itu memahami dengan jelas bahawa Yesus mengaku dirinya sebagai yang Ilahi. Apabila Yesus memanggil diri-Nya Anak Manusia, sebenarnya Yesus merujuk kepada nubuat yang telah dibawa oleh Nabi Daniel, beratusan tahun sebelum itu:-


Daniel 7:13-14 (AVB)

Aku terus memperhatikan dalam penglihatan pada malam hari itu. Tampaklah seorang seperti Anak Manusia datang dengan awan-awan langit. Dia sampai kepada Yang Abadi dan dibawa ke hadirat-Nya. Lalu dikurniakan kepada-Nya kekuasaan, kemuliaan, dan kedaulatan, sehingga semua orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa beribadat kepada-Nya. Kekuasaan-Nya ialah kekuasaan kekal yang tidak akan lenyap

dan kerajaan-Nya tidak akan binasa.


Bukankah hanya Allah sahaja yang mempunyai kekuasaan yang kekal dan kerajaan yang tidak akan binasa? Bukankah hanya Allah yang layak kami sembah dan beribadat? Hal-hal ini membuktikan bahawa Anak Manusia adalah ilahi dan sesungguhnya mempunyai sifat-sifat keilahian, sebagai Kalimat Allah yang murni. Oleh yang demikian, bila Yesus memanggil diriNya ‘Anak Manusia’, Yesus dengan jelas menunjukkan Dia ialah Allah!


Jadi, jikalau ayat-ayat Kitab Suci ini dipetik sesuka hati tanpa memahami secara keseluruhan konteksnya, maka ia akan diputar-belitkan dan disalah-tafsir oleh orang.


Tidaklah memadai untuk memetik cebisan-cebisan ayat Injil yang sokong teori dan dakyah sendiri sambil mengabaikan ayat-ayat yang lain seperti dari Markus 2, Yohanes 6, Lukas 10, dan lain-lain di atas. Haruslah kita membaca keseluruhan kandungan Al-Kitab dan bersikap lebih jujur dengan kandungannya!


Berhati-hatilah dan janganlah terpedaya dengan tafsiran ayat-ayat Al-Kitab yang salah. Yakinlah bahawa iman anda dalam Al-Kitab mempunyai asas yang kukuh. Jika anda mempunyai soalan selanjutnya, sila tulis kepada yohanes@komuniti-digital.com atau chat bersama kami dengan menekan ikon chat di bawah.



Nota Tambahan:

ayat-ayat lain yang boleh digunakan.

Yohanes‬ ‭1:1-3‬ ‭(AVB‬‬)

Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah. Dia bersama Allah pada permulaan. Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya.


Yohanes 1:14 (AVB)

Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.


Yohanes 13:12-14

Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.

Comentários


bottom of page