Adakah Yohanes 17:3 menafikan keilahian Yesus?
Keilahian Yesus seringkali dipersoalkan oleh golongan unitarian. Mereka mengatakan hanya ada satu Allah dalam hakikat dan peribadi (bukan dua atau tiga), dan tiada peribadi lain boleh dijadikan satu-satunya Allah yang benar. Mereka cuba membuktikan bahawa Yesus bukan Allah dengan memutar-belitkan ayat-ayat Alkitab.
Dalam tulisan ini, kita akan mengkaji usul mereka bahawa Yesus bukanlah Tuhan berdasarkan Injil Yohanes 17:3.
Yohanes 17:3 (AVB) “Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kau utus.”
Fahaman Golongan Unitarian
Menurut fahaman golongan ini :
(1) Yesus sendiri mengiktirafkan Bapa, (dan bukan dirinya sendiri), sebagai “satu-satunya Allah yang benar”.
(2) seandainya Yesus diutus oleh Allah, maka pastinya dia bukan Allah kerana seseorang yang diutus tidaklah sama dengan yang mengutus.
Sebagai rumusan, logik golongan unitarian adalah begini:
Hanya ada satu Allah yang benar; jika ada peribadi lain dijadikan Allah, maka itu tidak benar.
Yesus dengan Bapa adalah peribadi yang berbeza, dan Yesus Kristus diutus oleh Allah.
Jadi, Yesus bukan Allah.
Maka golongan ini menyimpulkan bahawa dalam Yohannes 17:3, Yesus sebenarnya menegakkan “Tiada Tuhan selain Allah”.
Perlunya Membaca Alkitab dalam Konteks
Adakah hujah mereka benar mengikut ajaran Alkitab? Titik permulaan mereka adalah andaian mereka sendiri. Mereka memetik ayat-ayat Alkitab sana sini tetapi mengabaikan konteksnya secara menyeluruh.
Mereka bukannya ingin memahami Alkitab secara jujur, tetapi lebih berminat memaksa tafsiran mereka ke atas ayat-ayat yang dipetik. Tetapi ingat, Alkitab harus dibaca dan difahamkan dalam konteksnya.
Jika tidak, kesalah-fahaman dan kesalah-tafsiran akan berlaku. Jadi, untuk memahami ayat ini dengan wajar, bacalah Yohanes 17:1-26.
Dalam perbincangan ini, kita akan melihat:
(1) masalah hujah mereka dan membetulkan kesalah-fahaman mereka.
(2) konteks ayat Yohanes 17:3, terutamanya Yohanes 17:1-5, dan ayat-ayat lain untuk membuktikan keilahian Yesus Kristus.
Masalah Kekeliruan Hujah Unitarian
Unitarian seringkali keliru dengan zat atau hakikat dan keperibadian Allah. Mereka percaya bahawa Allah hanya boleh mempunyai satu zat dan juga satu peribadi. Mereka telah mengabungkan zat-Nya dengan peribadi-Nya. Jadi, menurut mereka, apabila Yesus dengan Allah Bapa mempunyai peribadi yang berbeza, mereka juga mempunyai zat yang berbeza. Hal ini adalah tidak benar sama sekali. Mengikut Alkitab, Allah itu tritunggal secara kewujudan-Nya. Maksudnya, Allah itu esa, mempunyai hanya satu zat yang tidak terbahagi, tetapi ada tiga peribadi, iaitu Bapa, Anak dan Roh Allah.
Mungkin anda bertanya, bukankah itu satu yang bercanggah atau bertentangan: Allah itu tiga, tapi esa?
Hal ini tidak bertentangan, apabila anda memahami bahawa ke-esaan itu merujuk kepada zat atau hakikat Allah, manakala tiga itu merujuk kepada tiga peribadi yang dapat diperbezakan.
Kita boleh memahami konsep ini melalui satu ibarat.
Bayangkan di dunia ini cuma ada satu kewarganegaraan negara Malaysia, tapi jutaan peribadi boleh bergelar diri mereka warganegara Malaysia. Hal ini tidak bertentangan. Kewarganegaraan Malaysia itu ibarat zat atau hakikat Allah manakala setiap warganegara Malaysia itu ibarat peribadi yang walaupun berbeza sesama diri, adalah sama-sama warganegara Malaysia.
Selain itu, kita juga perlu faham maksud perkataan "esa", yang berasal dari bahasa ibrani, iaitu "echad" (אֶחָד). Perkataan ini menunjukkan kesatuan majmuk ataupun majmuk tunggal.
Ulangan 6:4 (AVB) “Dengarlah, wahai Israel! Tuhan ialah Allah kita. Tuhan itu esa.” (echad).
Untuk memahami perkataan ini, mari kita lihat cara Alkitab menggunakan perkataan ini.
Kejadian 2:24 (AVB) “Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.” (echad)
Jadi, walaupun mereka berdua (suami dan isteri), namun mereka bersatu dan menjadi kesatuan (esa/ yang tunggal).
Allah maha mengetahui. Jikalau Allah ingin menyatakan bahawa Allah adalah satu dalam zat dan juga peribadi, maka Allah akan menggunakan perkataan lain yang lebih sesuai, iaitu "yachid" (יָחִיד) yang bermaksud tunggal mutlak (hanya suatu angka unit sahaja).
(Untuk memahami doktrin tritunggal dengan lebih lanjut, sila baca petikan ini:
Jadi, dari penjelasan di atas, jelaslah unitarian membuat kesimpulan yang salah kerana telah membaca dan mentafsir ayat Yohanes 17:3 dengan andaian teori unitarianisme.
Sebagai rumusan ajaran Alkitab:
Hanya ada satu Allah yang benar dan esa (zat atau hakikatNya)
Allah Bapa adalah Allah yang benar dan Anak Allah (Yesus) bukan Allah Bapa (secara keperibadian),
Jadi, tidak berkontradiksi kalau Anak Allah (Yesus) juga adalah ilahi seperti-Nya Allah.
Kalau Allah mempunyai lebih dari satu peribadi, maka tidak sukar memahami yang Allah Bapa telah mengutus Anak Allah, iaitu Yesus Kristus.
Sebenarnya, jika ada orang yang ingin membuktikan bahawa Yesus Kristus bukanlah Allah atau Firman-Nya, mereka harus membuktikan bahawa Yesus tidak memiliki zat Allah. Jadi soalan seterusnya ialah adakah Yesus memiliki zat Allah?
Marilah kita membaca Yohanes 17:1-5 untuk jawapannya.
Yesus Kristus dalam Yohanes 17:1-5, ialah Allah
Yohanes 17:1-5 (AVB) “1 Setelah itu, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, "Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak-Mu dapat memuliakan Bapa. 2 Engkau telah memberi Anak-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kau serahkan kepada-Nya. 3 Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus. 4 Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. 5 Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersama-Mu SEBELUM DUNIA INI DIWUJUDKAN.”
A. Yesus Kristus mempunyai kekuasaan dan hak ke atas umat manusia.
Dari Injil Yohanes 17:2 kita dapat lihat bahawa Yesus ada kekuasaan ke atas umat manusia. Hal ini sejajar dengan nubuat Nabi Daniel (Daniel 7:13-14). Yesus adalah Anak Manusia (Yohanes 3:13; Markus 2, dll) yang dinubuatkan, yang mempunyai kekuasaan dan kerajaan yang kekal abadi dan tidak akan binasa. Memanglah Yesus itu ilahi kerana hanya Allah mempunyai kekuasaan dan kerajaan yang kekal dan tidak dapat dibinasakan.
B. Yesus Kristus mampu memberi hidup yang kekal kepada orang.
Dari Injil Yohanes 17:2, Yesus Kristus berkuasa memberi hidup yang kekal kepada orang. Perkara ini adalah hak mutlak yang hanya dimiliki Allah sahaja. Bukan itu sahaja, Yesus Kristus juga merupakan sumber segala hidup (Yohanes 1:3; 5:21, 25-29; 6:39-40; 10:24-33). Bahkan, Yesus Kristus sendiri merupakan Hidup (Yohanes 1:4; 14:6), sesuatu kemampuan dan sifat yang hanya dimiliki Allah (Ulangan 32:39; 1 Samuel 2:6; Mazmur 95:6-8; Isaiah 43:10-13; Yehezkiel 37:12-14).
C. Yesus Kristus mempunyai kemuliaan yang dimiliki Allah.
Dalam Yohanes 17:5, Yesus meminta Allah Bapa memuliakanNya dengan kemuliaan yang telah Yesus miliki bersama Allah Bapa. Tidak ada satu pun ciptaan Allah yang memiliki atau mampu memiliki kemuliaan Allah. Jadi, apabila Yesus Kristus menyatakan bahawa dia mempunyai kemuliaan yang dimiliki Allah, maka sebenarnya Allah menjadi manusia.
D. Yesus Kristus wujud sebelum segala diciptakan.
Dalam Yohanes 17:5, Yesus memiliki kemuliaan yang sama dengan Allah sebelum dunia diwujudkan. Dengan kata lain, Yesus Kristus telah pun wujud sebelum dunia ini diwujudkan. Itu juga bermakna, Yesus bukan ciptaan, kerana dia tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran.
Jadi, sebagai rumusannya:
Yesus Kristus mempunyai kekuasaan ke atas umat manusia.
Yesus Kristus mampu memberi hidup yang kekal kepada orang.
Yesus Kristus mempunyai kemuliaan yang dimiliki Allah.
Yesus Kristus wujud sebelum segalanya diciptakan.
Yesus Kristus adalah Allah sendiri.
Kalau golongan unitarian percaya Yohanes 17:3, haruslah mereka percaya pada Yohanes 17:1-5 juga kerana ayat-ayat ini juga telah keluar daripada mulut Yesus sendiri. Jika mereka tidak ingin mempercayainya, maka mereka hanya suka mendustakan orang dengan memetik cebisan-cebisan ayat Injil di sana sini dan sengaja memutar-belitkan ayat-ayat tersebut untuk menyokong hujah yang kosong dan yang tidak berasas.
Konteks Yohanes 17 amat jelas menunjukkan bahawa Yesus Kristus itu ialah Anak Allah serta Ilahi. Jadi, haruslah kita membaca keseluruhan kandungan Alkitab dan bersikap jujur dengan isi kandungannya!
Berhati-hatilah dan janganlah terpedaya dengan tafsiran ayat-ayat Alkitab yang salah. Yakinlah bahawa iman anda dalam Alkitab mempunyai asas yang kukuh.
Jika anda mempunyai soalan selanjutnya, sila tulis kepada yohanes@komuniti-digital.com atau chat bersama kami dengan menekan ikon chat di bawah.
Hi , the content of this page is empty. Hope it will be restored soon.