Kami diberkati dengan seorang anak perempuan yang cantik, sihat dan mempunyai bakat menulis yang luarbiasa. Dia seorang yang sabar, tekun, tidak mengenal putus asa dan gigih dalam setiap perkara yang dia lakukan baik dari segi akademik mahupun dalam perkara-perkara rohaniah. Setiap kali apabila dia menerima anugerah-anugerah akademik, kami berasa begitu bangga terhadap pencapaiannya. Namun, lebih daripada semua pencapaian akademiknya, apa yang membuatkan kami terasa sangat bangga dan begitu senang hati ialah sikap hatinya yang sentiasa ingin dekat dengan kami, selalu taat dan siap untuk melakukan apa yang kami suruh. Sikap hatinya yang sentiasa taat dan mendengar kata itulah yang sentiasa membuatkan hati kami cair terhadapnya. Kami sangat bersyukur ke atas hidupnya kerana kami tahu itu semua adalah kerana kasih karunia dan rahmat-Nya yang luarbiasa dalam hidup kami.
Hubungan kita dengan Tuhan juga seperti hubungan ibubapa dengan anak. Tuhan dalam kasih karunia-Nya yang sangat besar telah menyelamatkan kita dan memberikan kita hak untuk menjadi anak-Nya (Yoh 1:12). Dan kerana itu kita memanggilnya Bapa. “Kerana kamu…telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa” (Rom 8:15). Sebagai seorang anak, pernahkah kita tertanya-tanya apakah yang paling menyenangkan hati Bapa Syurgawi kita? Adakah perbuatan kita yang membuatkan Dia gembira? Atau adakah pencapaian-pencapaian kita baik dalam kerjaya hidup kita mahupun dalam misi kekristianan kita? Ataupun kemajuan-kemajuan jangkauan kita yang semakin meluas tersebar yang kita capai dalam rohani mahupun jasmani kita? Pernahkah kita terfikir apakah ini semua benar-benar menyenangkan hati Tuhan?
Ada sebuah kisah dalam Alkitab yang mengambarkan apa yang menjadi kesenangan hati Tuhan. Suatu hari Yesus bersama murid-murid-Nya berkunjung ke rumah dua beradik perempuan yang bernama Marta dan Maria. Mereka menyambutnya dan Maria langsung duduk mendengar pengajaran Yesus, tetapi Marta pula sibuk melayani mereka sehingga dia berasa terbeban dengan kerja-kerja pelayanan itu. Mungkin Marta berasa sedikit marah dan kecewa terhadap Maria yang tidak membantunya, lalu dia mengadu kepada Yesus, katanya, “Tuhan, tidakkah engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku. Tuhan menjawab, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.” (Luk 10:38-42).
Seperti kebiasaan dalam masyarakat kita, apabila ada tetamu yang datang berkunjung ke rumah kita, kita akan menyambut dan melayani mereka. Dan sebagai tuan rumah kita ingin memberikan layanan yang terbaik agar tetamu kita berasa selesa. Namun di pihak tetamu, apakah yang penting? Layanan tuan rumah atau keberadaan tuan rumah itu sendiri? Biasanya tetamu datang mengunjungi kita kerana mereka ingin bersama dan bersekutu dengan kita. Apa yang dilakukan oleh Marta sebenarnya adalah baik, namun dia terlepas inti dari maksub kunjungan Yesus ke rumahnya, iaitu bersekutu bersama-sama dengannya! Bayangkan kalau Tuhan secara peribadi datang berkunjung ke rumah kita, apa yang kita lakukan? Apakah kita mahu sibuk memasak dan menyediakan makanan minuman atau duduk bersimpuh di hadapan-Nya, menikmati hadirat-Nya dan mendengar segala yang ingin dikatakan oleh-Nya?
Mungkin ada banyak perkara yang kelihatannya perlu untuk kita kerjakan. Namun Tuhan berkata hanya satu perkara sahaja yang diperlukan iaitu duduk bersimpuh di kaki-Nya dan menikmati hadirat-Nya dan Firman-Nya. Adakah kita melakukan satu perkara ini? Atau adakah kita melakukan banyak perkara lain sehingga kita terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa untuk satu perkara itu? Dan dalam kita datang kepada Tuhan, adakah kita datang dengan sikap seperti Marta, datang membawa keluhan dan aduan kita? Ataupun datang hanya untuk memohon berkat, pertolongan dan campur tangan Tuhan dalam urusan hidup kita? Atau kita datang dengan sikap seperti Maria yang rindu akan keperibadian Yesus itu sendiri, duduk di kaki-Nya dan menikmati hadirat-Nya serta mendengar kata-kata-Nya. Tanpa ada tujuan lain. Datang hanya untuk berada dekat dengan-Nya, bersekutu bersama-Nya dan mengalami kasih-Nya. Maria datang dan duduk dengan sikap hatinya yang benar telah menyenangkan hati Yesus. Semoga kita juga mempunyai hati seperti Maria yang datang dan melakukan satu perkara itu; mencari keperibadian-Nya, bersekutu dengan-Nya dan menikmati hadirat-Nya. Seperti seruan Daud dalam Mazmur 27:4, biarlah doa ini juga menjadi kerinduan hati kita semua “Satu hal telah kuminta kepada Tuhan, itulah yang kuingini: diam di rumah Tuhan seumur hidupku, menyaksikan kemurahan Tuhan dan menikmati bait-Nya.” (Mz 27:4).
Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.
Amen.
Sue
Commentaires