1 Samuel 12:16-19 (BM)
Sekarang, dengarlah baik-baik! Perhatikanlah keajaiban yang akan dilakukan TUHAN di depan mata kamu. Sekarang musim kemarau, bukan? Tetapi aku akan berdoa, lalu TUHAN akan menurunkan guruh dan hujan sebagai jawapan doaku. Apabila perkara itu berlaku, kamu akan sedar betapa besarnya dosa kamu terhadap TUHAN kerana minta seorang raja." Kemudian Samuel berdoa, dan pada hari itu juga TUHAN menurunkan guruh serta hujan. Oleh itu, segenap umat itu menjadi takut terhadap TUHAN dan Samuel. Mereka berkata kepada Samuel, "Tolonglah tuan, berdoalah kepada TUHAN Allah tuan untuk kami, supaya kami tidak mati. Sekarang kami sedar bahawa selain dosa kami yang banyak, kami sudah berdosa lagi apabila kami meminta seorang raja."
Pengajaran/Refleksi
Perhatikanlah keajaiban yang akan dilakukan TUHAN di depan mata kamu. Meski pada musim kemarau, TUHAN menurunkan guruh dan hujan sebagai jawapan doa mereka. Setelah menyedari kesalahan mereka, mereka memohon Samuel berdoa bagi mereka, dan TUHAN menjawab permohonan mereka.
Umat TUHAN berdegil dengan meminta seorang raja untuk memimpin mereka, sehingga mereka lupa bergantung sepenuhnya kepada TUHAN. Mereka lupa akan Kemahakuasaan TUHAN yang telah membawa mereka keluar dari Mesir dan memimpin hidup mereka.
Jangan bergantung kepada manusia tetapi hanya kepada TUHAN yang Maha Kuasa, yang dengan kasih sayang-Nya senantiasa mendengar doa kita ketika kita menyedari dosa kita dan bertaubat.
Doa
TUHAN, berkati Firman-Mu hari ini dalam kehidupan kami, agar kami terus berharap kepada-Mu sampai selamanya. Pimpinlah dan kuasai hidup kami selalu. Kiranya Engkau memberkati setiap kami secara jasmani dan rohani. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments