Mazmur 139:23-24 (AVB)
Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku; dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku. Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku, dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.
John Bunyan berkata, “Doa akan membuat seseorang berhenti berdosa sebaliknya dosa akan menyebabkan seseorang itu berhenti berdoa.” Sebelum berdoa bagi orang lain, kita perlu memohon pertolongan Allah untuk menyelami hati kita. Hanya Allah yang Maha Tahu mengetahui dosa yang tersembunyi di lubuk hati yang terdalam. Maka kalau kita mahu terus berdoa dengan berkesan di hadirat Allah, mula dengan berdoa bagi diri sendiri.
Allah kita Maha Tahu, Dia menyelami hati, menguji fikiran, dan menyatakan kesalahan kita supaya kita menjadi peka dan berhenti berdosa. Di hadirat-Nya tiada satupun dosa dapat terus bersembunyi bahkan sebelum sepatah kata keluar dari mulut kita, Roh-Nya sudah mengetahuinya. Ya, setiap tindak tanduk kita akan diawasi-Nya sehingga kita tidak dapat menyimpang dari jalur-Nya kalau kita berdoa sungguh-sungguh. Raja Daud yang telah berzina dengan Batsyeba lantas tersangkut dalam serantaian dosa akan terus terjerumus dalam lembah pembinasaan kalau dia tidak berdoa. Dengan hati yang remuk, dia mengaku dosanya dan bertaubat. Tuhan tetap mengampuni dosanya dan doa terus mengalir daripada hidupnya. Mari ambil iktibar daripada kata-kata Daud, "Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu; hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar. Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku" (Mazmur 51:3-4).
Jangan biarkan nafas doamu tersangkut oleh dosa seperti sungai yang tersangkut sampah sarat. "Jika kita mengakui dosa kita kepada Allah ... Dia akan mengampunkan dosa dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah" (1 Yohanes 1:9). Biarlah Roh melakukan perkerjaan mendalam dalam hatimu. Saat doa adalah saat kudus, Tuhan bersedia mengubah kita, memperbaharui hati kita dan memimpin kita ke jalan benar yang kekal abadi.
DOA: Tuhan, selidiki aku, selami hatiku, ujilah fikiranku, periksalah hatiku dan pimpinlah aku dalam kebenaran. Layakkanlah aku berdoa di hadapan-Mu dengan kudus.
William Yeong
Comments