Peranan seorang bapa telah mengalami perubahan yang signifikan dari masa ke masa. Pada zaman dahulu, bapa dipandang sebagai individu yang menyediakan keperluan keluarga melalui pendapatan, manakala ibu bertanggungjawab membesarkan anak-anak dan mengurus tugasan rumahtangga. Walaubagaimanapun, peranan gender menjadi lebih fleksibel seiring dengan masa dan bapa kini turut terlibat dalam pengasuhan dan pendidikan anak serta tanggungjawab di rumah.
Hari ini, bapa-bapa menghadapi masalah yang serupa dengan ibu-ibu dalam mengimbangi kerja dan kehidupan keluarga. Sesetengah bapa bekerja lebih masa dan mendapati sukar untuk menyeimbangkan tanggungjawab pekerjaan dengan tagnggungjawab atau masa bersama anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Selain itu, bapa-bapa juga terikat dan menerima kesan oleh harapan dan jangkaan sosial atau stigma yang diletakkan ke atas mereka kerana tidak dianggap sebagai teladan ibu bapa yang sebenar. Hal ini menyebabkan bapa menghadkan dan membatasi penglibatan mereka dalam tugas rumah dan pendidikan anak.
Salah satu cabaran lain yang mungkin dihadapi oleh seorang bapa adalah kurangnya cuti bapa atau bantuan lain untuk menjaga anak-anak termasuk kurangnya sumber atau sokongan bagi bapa yang berminat untuk lebih terlibat dalam kehidupan anak-anak mereka. Sesetengah bapa mungkin didiskriminasi di tempat kerja kerana terlibat dalam membesarkan anak. Terdapat beberapa cabaran kontemporari bapa yang berbeza iaitu bergantung pada keadaan individu serta jangkaan dan norma masyarakat. Mereka sentiasa menghadapi situasi yang menimbulkan ketidakpastian yang agak komplikated tentang kehidupan dan apa yang akan berlaku pada masa datang.
Walau bagaimanapun, kita sebagai bapa harus bangkit apabila pasangan, anak-anak, dan keluarga kita memerlukan kita dan berusaha sebaik mungkin. Hidup sebagai bapa bermaksud menyesuaikan diri dengan perubahan. Dari aspek negatif, terdapat kesukaran, cabaran dan badai yang mungkin dihadapi dalam perjalanan hidup seorang bapa. Bagaimana jika anak anda menghadapi masalah dengan undang-undang? Bagaimana jika seorang dari keluarga anda mengalami kemalangan atau diserang penyakit maut? Bagaimana jika perkahwinan anda mengalami masalah? Bagaimana jika salah seorang anak perempuan anda mungkin hamil pada usia remajanya? Bagaimana jika anak anda menghadapi pergelutan besar di sekolah? Bagaimana jika anda diberhentikan dari pekerjaan anda? Bagaimana jika anda menghadapi masalah kewangan? Sebagai seorang bapa, terdapat kekaburan dan ketidakjelasan dalam penyesuaian norma kehidupan "biasa". Cabaran apa yang akan timbul apabila seorang anak telah masuk ke alam remaja atau kehidupan berkahwin? Apa cabaran anda jika seorang anak ingin berkahwin dengan seseorang yang anda tidak setuju. Bagaimanakah seorang bapa menyesuaikan diri dengan perkahwinan semula dan anak tiri? Bagaimanakah seseorang bapa boleh membantu anaknya yang OKU? Bagaimana jika anak anda terdedah kepada pengaruh negatif dari rakan-rakan? Menjadi bapa sendiri bermakna melangkah ke cara hidup yang baru dan sentiasa berubah.
Beberapa kejadian ini memberi kita masa di mana kita boleh menjangkakan perubahan dan menyediakan diri dengan sewajaranya. Ada yang datang secara mengejut – kadang-kala mereka muncul begitu sahaja; kadang kadang kita hanya perasan dan sedar adanya situasi itu kerana terlalu sibuk dengan keutamaan lain sehingga kita gagal untuk berhenti dan lihat apa yang sedang atau sudah berlaku.
Kita tidak perlu panik, bapa. Bapa juga tidak perlu berlindung sehingga menunggu rebut reda dengan sendirinya. Kita perlu bertindak hari ini. Berikut adalah beberapa kualiti yang boleh diusahakan oleh bapa supaya mereka bersedia menghadapi ketidakpastian di sepanjang perjalanan mereka:
1. Jangan Panik. Harus Tenang! (Filipi 4:6-7)
Jangan panik! Ia lebih daripada kebiasaan yang membosankan tentang bagaimana menghadapi kesukaran dan krisis. Ketenangan melambangkan keyakinan batin yang menjadi tak ternilai harganya di waktu-waktu sukar (Mazmur 94:13). Adakah anda rasa selesa dengan peranan anda sebagai pria atau adakah beberapa tanggungjawab membuat anda berasa kurang nyaman atau yakin? Jika anda tidak yakin tentang diri anda sebagai suami dan bapa, maka semua situasi sukar dalam kehidupan akan jauh lebih sukar untuk anda tangani dan untuk bersedia menghadapinya.
Kita perlu menjangkakan untuk menghadapi beberapa pertempuran dalam tugas kita sebagai ibubapa ini. Kita mungkin dipanggil keluar pada tengah malam – justeru itu, kita mesti menangani emosi dalam diri kita dan orang lain. Ia mungkin kelihatan aneh atau tidak selesa. Ia mungkin masalah disiplin yang memerlukan tindakan bijaksana dan penuh kasih saying. Sebagai Duta Kristus, kita juga mempunyai anak-anak lain dalam komuniti kita yang layak mendapat perhatian kita juga.
Seorang bapa yang mempunyai pandangan sihat tentang kesukaran tidak pernah terkejut. Dia yakin dengan keupayaannya untuk menjalankan tugasnya dan bersedia bertindak apabila dipanggil. Dia boleh menilai situasi, memberikan nasihat yang membina kepada ahli keluarga, berlutut di samping anaknya, membuang rambut dari matanya, dan menyakinkan anaknya bahawa segalanya akan baik-baik saja. Bapa berada dan hadir serta memahami situasi dalam rumahnya. Walaupun kita tidak selalu dapat menghalang krisis daripada berlaku, kita boleh melakukan banyak perkara untuk memperbaiki keadaan keluarga kita dengan belajar bersikap tenang. Ia adalah Pola Fikiran Kasih Sayang Agape yang mengatasi pertempuran harian dengan membezakan kita sebagai bapa dan pria.
2. Ciptakan ruang untuk perbincangan secara terbuka (Efesus 4:29)
Bapa yang bersedia menghadapi kesukaran akan mempunyai interaksi lisan yang baik dengan anak-anaknya. Dia memupuk saluran komunikasi terbuka dengan mereka. Apabila badai, tragedi atau kesukaran berlaku, keluarganya bersedia untuk meluahkan emosi mereka dengan cara yang sihat - menyakinkan satu sama lain, membincangkan penyelesaian yang mungkin, dan mengatasinya bersama-sama (Amsal 18:21).
Bapa duniawi sering mencontohi tabiat komunikasi yang tidak sihat. Mereka bertindak balas dengan menggunakan kata-kata kasar dan bersikap lebih negatif untuk "menang". Mereka sering merendahkan atau menghina ahli keluarga apabila emosi mereka meningkat, mengelakkan perbincangan penting dan menutupi diri apabila perkara tidak berjalan mengikut kehendaknya.
Kita mesti berusaha untuk mencontohi tindakan positif bapa rohani. Nilai Rohani yang diaplikasikan menjadikan anak-anak kita berasa selamat, mahir memberi dan menerima pengampunan, kerap memberikan motivasi dan berkat lisan, dan kekal tenang dalam menghadapi tingkah laku yang tidak dapat diterima. Semasa waktu sukar, keluarga kita akan mengambil contoh positif yang kita tunjukkan, bekerjasama untuk menyelesaikan masalah tanpa menyerah kepada amarah dan pembalasan. Adalah penting untuk mengadakan perbincangan bersama ahli keluarga secara berkala di mana sesiapa sahaja boleh mengemukakan dan meluahkan masalah atau kebimbangan. Kumpulkan semua orang bersama-sama, tanpa skrip dan kongsi perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Luangkan masa untuk membincangkan setiap isu, dapatkan pencerahan daripada ahli keluarga anda dan berusaha ke arah penyelesaian. Akhir sekali, berkomunikasi dengan pasangan anda adalah penting. Pasangan anda adalah aset dengan kepekaan dan pandangan bijaksana. Mencari sokongan daripada bapa-bapa rohani lain yang telah melalui pengalaman yang sama boleh membantu ketika masa sukar.
3. Setkan keutamaan dan berikan keutamaan (Kolose 3:2)
Kesukaran dan kesulitan dalam hidup akan menguji kita dan perhubungan kita. Ia sentiasa bertindak sebagai pembuka mata tentang keperluan dan keutamaan kita. Kita berusaha ke hadapan dalam kerjaya kita; Kita terus maju dalam kerjaya kita; kita mengisi hujung minggu kita dengan tanggungjawab lain; kita mengadakan pertemuan sosial berjam-jam; dan kita tidak pernah melepaskan masa sukan kegemaran kita. Walau bagaimanapun, perkahwinan kita menderita, anak kita mempunyai permasalahan harga diri, dan perhubungan lain menjadi mangsa keperluan dan keutamaan kita yang cacat. Mengapa bagi kebanyakan bapa di luar sana, ia memerlukan serangan jantung, kanser, mengetahui bahawa anak kita menggunakan dadah, atau keluarga berpisah untuk mengubah hidup kita dan melakukan apa yang penting? Adakah kita malas? Adakah kita seorang yang ego? Setiap orang harus menjawab soalan-soalan itu untuk dirinya sendiri, tetapi ada beberapa ciri di mana kita kehilangan jejak apa yang paling penting bagi kita.
• Sangat mudah bagi kita untuk terjebak dalam dunia digital yang serba cepat, dengan gangguan yang terus-menerus berlomba-lomba menarik perhatian kita. Influencer digital menggunakan strategi apa pun untuk menarik minat dan perhatian kita. Jangan mudah terganggu! Tetapkan saat-saat ikatan dengan anak anda.
• Bapa sering merasa sukar untuk berhubung dengan anak-anak mereka di tengah- tengah tuntutan kerja. Walaupun menyara keluarga kita adalah penting, ramai pria akhirnya mengutamakan kerjaya mereka daripada peranan mereka sebagai bapa. Adalah penting untuk bapa-bapa untuk berhenti seketika dan merenung keutamaan kita, membincangkannya dengan pasangan kita dan membuat pilihan bijak untuk melabur waktu dalam hubungan keluarga kita.
• Setelah kita membuat keputusan ini, adalah penting untuk mengkomunikasikan komitmen kita kepada anak-anak kita dan membuktikannya melalui perbuatan kita. Dengan memastikan bahawa anak-anak kita memahami bahawa mereka adalah keutamaan utama kita, kita boleh membantu mencegah atau menangani masalah keluarga dengan lebih efektif. Hal ini akan mengatasi prioriti yang salah dan dapat memperburukkan masalah atau krisis dalam keluarga. Kita harus bersedia menghadapi gelombang emosi yang datang dengan kehidupan keluarga dan bertindak dengan tenang, positif, dan pengawalan diri. Dengan berbuat demikian, kita boleh mengajar anak-anak kita pelajaran penting dan menetapkan contoh yang kekal tentang bagaimana mengendalikan kesusahan. Mengatur keperluan dan keutamaan anda tidak akan menghalang masalah yang akan datang, tetapi ia akan menjadikan peranan anda lebih mudah apabila mereka timbul.
Bapa, kamu sedang diuji! Keluarga anda akan memberikan ribut emosi sekali-sekala. Anak-anak anda mungkin mengatakan perkara yang menyakitkan hati anda. Itu ok - Bapa di Syurga kita melalui ribut besar apabila Yeshua menderita di kayu salib. Tetap tenang dan positif; jangan terburu-buru dan hilang kawalan selepas bercakap dengan anak-anak anda. Tunjukkan kawalan diri dan jadilah pemimpin yang boleh dipercayai dan yang diperlukan oleh keluarga anda. Anda boleh mengajar mereka beberapa pelajaran penting dan mencipta contoh jangka panjang tentang cara menangani masalah.
Selamat Hari Bapa!
Pastor Dr Richard H.C Pany
Commentaires