
'...Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka. ' (Lukas 6:31b) AVB
Setiap orang, tidak kira kaya atau miskin, berpendidikan atau tidak, pasti menginginkan orang lain berlaku baik terhadap diri mereka. Namun, persoalannya, “…adakah selama ini dia telah berlaku baik terhadap orang yang pernah hidup bersamanya, atau sebaliknya?...”
Seperti yang telah dikatakan oleh Yesus kepada mereka yang percaya kepada-Nya, “…sekiranya mereka ingin orang lain melakukan sesuatu untuk mereka, pertama-tama mereka harus melakukannya terlebih dahulu untuk orang lain...”. Ini kerana semua perkara haruslah bermula daripada diri kita terlebih dahulu sebelum kita mengharapkan orang lain melakukannya.
Manusia akan bertindak terhadap diri kita apabila mereka telah melihat dan mengalami sendiri apa yang kita lakukan untuk mereka. Ini kerana setiap orang ingin melihat bukti daripada diri kita sebelum mereka bertindak balas. Oleh itu, “…sekiranya kita mahu orang berbuat baik kepada kita, pertama-tama kita sendiri harus memulakannya terlebih dahulu...”
Sepertimana firman Tuhan dalam Galatia 6:7, "...kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya...". Sekiranya kita berbuat baik kepada orang di sekeliling kita, pasti mereka juga akan berbuat baik kepada kita.
Oleh itu, 'Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman. ' (Galatia 6:9-10) AVB
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon agar Tuhan mengajarku untuk sentiasa melakukan kebaikan kepada semua orang, agar sepanjang hidupku, aku menjadi berkat. Di dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comentarios