“…Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah....” 2 Timotius 3:16
Paulus memperingatkan Timotius tentang masa lalunya, di mana sejak kecil lagi dia telah dibimbing dan diajar oleh Lois (neneknya) dan Eunike (ibunya), untuk mengenal Kitab Suci yang telah memberi dia hikmat untuk keselamatan melalui iman dalam Tuhan Yesus Kristus.
Oleh itu, Paulus mendorong Timotius untuk berpegang teguh pada keyakinan yang telah dimilikinya sejak kecil lagi. Timotius harus terus berpegang teguh pada Firman Tuhan yang telah diterimanya sejak kecil kerana semua yang tertulis dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajarkan yang benar, menegur dan membetulkan yang salah, serta mengajar manusia supaya hidup menurut kehendak Allah.
Alkitab sepenuhnya diilhamkan oleh Allah, yang bermaksud nafas Allah sendiri, keluar dari mulut-Nya. Oleh kerana Alkitab sepenuhnya diilhamkan oleh Allah, ia menolong setiap orang yang percaya untuk mendapat pengajaran yang benar, menolak ajaran yang salah, memperbetulkan kehidupan moral yang keliru, dan menolong orang untuk hidup dalam kesucian.
Oleh itu, biarlah kehidupan kita dikuasai dan dibimbing oleh kebenaran Firman Tuhan setiap hari.
Doa:
Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon agar Roh-Mu mengajar saya akan jalan-Mu. Biarlah Firman-Mu membimbing hidup saya, Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Commentaires