
'“Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu; ' (Lukas 6:27) AVB
Yesus mengajar setiap orang yang percaya kepada-Nya supaya mengasihi musuh mereka dengan terus berbuat baik kepada mereka yang membenci mereka. Selain itu, mereka juga harus memberkati mereka yang mengutuk mereka serta berdoa untuk mereka yang menganiaya mereka.
Yesus menggunakan sebuah perumpamaan tentang sikap seseorang yang percaya terhadap serangan musuh mereka dengan tindakan yang berbeza:
"...Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga. Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu..."
Oleh itu, Yesus memperingatkan setiap orang yang percaya kepada-Nya supaya mengikut semua perintah-Nya ini. Jika mereka mahu orang lain melakukan kebaikan kepada mereka, maka mereka terlebih dahulu harus melakukan perkara yang sama terhadap orang lain.
Dengan itu, apabila kita menghadapi ancaman atau serangan daripada orang yang tidak menyukai kita hanya kerana kita percaya kepada Tuhan Yesus, kita harus ingat perintah Tuhan Yesus ini. Dengan terus berbuat baik, memberkati, dan mendoakan mereka, musuh kita tidak akan mempunyai alasan untuk menuduh kita.
Oleh itu, "...Janganlah balas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya balaslah kejahatan dengan kebaikan..." kerana hal ini membuktikan bahawa kita benar-benar percaya kepada Tuhan Yesus.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu memohon kekuatan daripada-Mu. Tolonglah aku untuk terus mengasihi semua orang tanpa membezakan mereka. Jangan biarkan aku menjauhkan diri, tetapi ajarlah aku untuk terus mendoakan dan memberkati mereka. Ajarlah aku untuk mengasihi mereka sebagaimana Engkau juga mengasihi aku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
コメント