![](https://static.wixstatic.com/media/f9523a_622ee497327e4bdc83b37184906a4c60~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/f9523a_622ee497327e4bdc83b37184906a4c60~mv2.jpg)
Tetapi Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ” Lukas 4:8 AVB
Setelah Iblis gagal menggoda Yesus buat kali pertama, dia tidak berhenti begitu sahaja dalam percubaannya. Dia pun mengubah cara dia menggoda Yesus. Dengan itu, Iblis membawa Yesus ke sebuah tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, dia menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia. Lalu dia berkata kepada Yesus:
“Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka. Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu.”
Setelah mendengar tawaran Iblis kepada-Nya, maka Yesus pun berkata kepada Iblis “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ”. Yesus sama sekali tidak tergoda dengan tawaran Iblis kepada-Nya kerana Dia tahu apa yang harus dilakukan dalam hidup-Nya.
Segala kekuasaan bukanlah apa yang dikehendaki oleh Yesus di dunia, kerana apa yang hendak dilakukan-Nya adalah untuk menyembah dan memuliakan nama Tuhan. Itulah sebabnya Dia menolak tawaran Iblis untuk menyembahnya.
Demikianlah pada hari ini kita juga ditawarkan pelbagai kebendaan dunia ini, agar kita melepaskan iman kita dan menyerah hidup kita kepada dunia ini. Seperti apa yang terjadi kepada Esau, demi semangkuk masakan kacang merah dia sanggup menyerahkan hak kesulungannya kepada Yakub.
Apakah iman kita kepada Tuhan Yesus menjadi luntur hanya disebabkan hal-hal dunia ini?
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan daripada-Mu. Berilah aku hikmah untuk menghadapi tawaran dunia ini, agar aku tidak akan menyerahkan imanku kerana dunia ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments