Teks
Hakim-Hakim 16:1-3 (BM)
Pada suatu hari Simson pergi ke Gaza. Di sana dia berjumpa dengan seorang pelacur, lalu berseketiduran dengan perempuan itu.
Penduduk Gaza mendengar bahawa Simson berada di sana. Oleh itu mereka mengepung tempat itu dan menunggu dia di pintu gerbang kota sepanjang malam. Tetapi mereka tidak berbuat apa-apa pada malam itu kerana mereka berfikir, "Nanti apabila matahari terbit, barulah kita bunuh dia." Tetapi Simson tidak tidur sampai pagi. Pada tengah malam dia bangun lalu pergi ke pintu gerbang kota. Dia mencabut pintu itu seluruhnya dengan tiang-tiang dan palang-palangnya. Kemudian dia memikul semuanya dan membawanya ke puncak bukit yang berhadapan dengan Hebron.
Pengajaran/Refleksi
Simson memiliki kekuatan yang luarbiasa daripada TUHAN, sebab TUHAN mahu memakai hidupnya untuk membebaskan umat TUHAN daripada dibelenggu oleh musuh mereka. Simson mencabut pintu di pintu gerbang kota itu seluruhnya dengan tiang-tiang dan palang-palangnya sekali dan memikulnya ke puncak bukit yang berhadapan dengan Hebron.
Firman TUHAN hari ini mengajar kita bahawa TUHAN senantiasa menolong kita umat-Nya, seperti Dia menolong Simson walaupun hidupnya tidak menyenangkan hati TUHAN. Kiranya TUHAN memberi kita kekuatan untuk mengalahkan ataupun mengatasi segala pencubaan yang kita hadapi saat ini dan bahkan yang akan datang.
Bawalah kepada TUHAN segala pergumulanmu dan semoga Tuhan menolong kita sebagai umat-Nya. Haleluyah dan Amin!
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Kiranya Engkau memberkati setiap umat-Mu di mana saja kami berada hari ini. Dengarkan seruan kami ya TUHAN untuk kemuliaan bagi nama-Mu. Haleluyah dan Amin.
Rev. Ali Langgit
Comments