top of page

Tanda-tanda Amaran Hubungan Sulit

oleh Beth J. Lueders



Walaupun hubungan sulit selalunya tidak dijangka, ada gejala yang dapat dikenali dalam suatu perkahwinan yang bermasalah.


Elena mendapati bahawa suaminya bukan hanya membeli-belah dalam talian sepanjang malam di komputer.


Steve secara kebetulan melihat isterinya mencium jurulatih senaman di tempat letak kereta gimnasium.


Kebanyakan hubungan luar nikah tidak bermula dengan pengakuan yang jujur: "suami saya pergi ke luar bandar" atau "isteri saya tidak akan mengesyaki apa-apa." Biasanya ada sesuatu yang tidak beres dalam perkahwinan sebelum pasangan yang tidak berpuas hati mengucapkan perkataan-perkataan menggoda ini.


Berikut adalah faktor-faktor yang boleh mencetuskan kecurangan dalam perkahwinan:


  • Mencari peningkatan ego di luar perkahwinan anda. Lelaki cenderung terjerumus dalam hubungan luar nikah untuk membina imej diri atau harga diri seksual mereka. Wanita disyaki mengadakan hubungan sulit untuk memuaskan keperluan mendalam mereka untuk cinta, penghargaan dan kasih sayang. Berhati-hatilah terhadap kebergantungan pada orang lain di luar perkahwinan sebagai sumber utama cinta, nilai diri dan kehormatan.


  • Mengabaikan amalan bercakap secara terbuka antara satu sama lain. Sekiranya anda hanya bercakap dengan pasangan anda mengenai bil-bil dan kerja rumah, anda mungkin akan menghadapi masalah. Menahan pemikiran dan perasaan tidak akan meningkatkan ketelusan dalam hubungan anda. Berlatihlah bagaimana berbual tentang perkara kecil dan ini boleh membuka pintu untuk perkongsian yang lebih mendalam.


  • Keengganan menyelesaikan konflik. Setiap pasangan akan mengalami tempoh di mana komunikasi menjadi sukar. Adalah penting untuk tidak “membina tembok” antara anda dan pasangan anda. Setengah orang menyembunyikan luka mereka sementara yang lain menunjukkan emosi mereka secara tidak wajar. Kedua-dua tingkah laku ini tidak konstruktif. Kedua-dua cara ini mewujudkan sekatan emosi. Konflik yang tidak diselesaikan boleh mencetuskan pengasingan diri dan membuat anda cenderung untuk melarikan diri dari perkahwinan anda.


  • Pengurangan amalan berseronok dan bersantai bersama. Ingatlah kali terakhir anda dan pasangan menikmati temujanji atau percutian hujung minggu bersama. Seperti pepatah lama, "Pasangan yang bermain bersama, tetap bersama." Sekiranya tanggungjawab kerjaya, keluarga dan rumah tangga mengatasi gelak ketawa dan persahabatan dengan pasangan anda, anda perlu memperuntukkan masa untuk percutian bersantai supaya dapat meluangkan masa bersama.


  • Masa perpisahan yang semakin bertambah. Tuntutan perjalanan kerja, anak-anak yang sakit atau minat dan hobi yang berbeza adalah masalah biasa yang dapat memisahkan pasangan. Semakin banyak masa yang anda habiskan berasingan dari pasangan, semakin besar godaan untuk menjauhkan diri dalam hubungan anda.


  • Membiarkan tekanan dan keletihan setiap hari menjejaskan hubungan intim anda. Jadual masa yang penuh dan proses membesarkan anak adalah dua sebab biasa suami dan isteri berasa jemu atau letih dalam hubungan intim mereka. Keadaan romantik, dalam sekelip mata, dapat mengingatkan anda tentang sebab anda saling mencintai. Semua perkahwinan memerlukan masa pembaharuan dan penilaian secara mendalam faktor-faktor yang menjejaskan hubungan intim.


  • Membiarkan kehidupan cinta anda menjadi hambar dan bukannya mengujakan. Keakraban dan kebosanan boleh muncul perlahan-lahan dalam mana-mana perkahwinan. Berhati-hatilah sebelum anda memutuskan untuk merangsangkan kehidupan seks anda dengan meninggalkan pasangan anda untuk kekasih yang lebih menarik. Sekiranya anda atau pasangan anda tiba-tiba tidak berminat untuk melakukan hubungan seks antara satu sama lain, pastikan anda mengkaji sebab sebenarnya.


  • Menyerah kepada hidup harian yang menjemukan. Sedikit misteri dapat menyebabkan perkahwinan anda menjadi lebih menarik. Banyak pasangan terjebak dalam hubungan sulit kerana minat yang berkurangan terhadap pasangan mereka. Salah satu cara untuk meneruskan kebahagiaan perkahwinan adalah dengan mengejutkan pasangan anda dengan nota cinta atau percutian atau hadiah yang tidak dijangka.


  • Hidup dalam keengganan menghadapi kenyataan. Berpura-pura bahawa masalah tidak wujud dalam perkahwinan hanya akan menambahkan jurang antara anda dan pasangan. Banyak hubungan luar nikah bermula apabila pasangan yang kecewa menghadapi realiti dalam perkahwinan dengan meminta rakan sekerja atau rakan jantina berlainan untuk sokongan. Anda harus berani menghadapi kebenaran tentang pergumulan dalam perkahwinan anda.


  • Melupakan komitmen antara satu sama lain. Lama kelamaan pasangan cenderung lupa mengapa mereka jatuh cinta. Dalam budaya yang permisif, kita memerlukan keberanian dan tekad untuk menghormati komitmen dan bukannya mencari cara mudah.


  • Gagal menentang serangan dan godaan. Dalam dunia kita yang taksub tentang seks, suami atau isteri yang paling tidak bersalah boleh menjadi mangsa godaan seksual. Sebelum anda atau pasangan terjebak dalam situasi yang mencurigakan, kamu berdua harus berbincang tentang langkah-langkah melindungi perkahwinan anda. Anda mungkin perlu mengelakkan pertemuan selepas waktu kerja, hotel tertentu dalam perjalanan perniagaan dan majalah, filem atau media yang memberahikan. Memikirkan "Kali ini sahaja," boleh menyebabkan penyesalan seumur hidup.


Banyak faktor yang mendorong perkahwinan kepada kegagalan. Pastikanlah hubungan anda kaya sepanjang hayat dengan bertindak pada hari ini juga untuk menjaga kesetiaan perkahwinan anda.


Salah satu cadangan terbaik untuk perkahwinan bermasalah adalah meminta bantuan kaunselor. Selalunya, melibatkan pihak ketiga - terutama pihak yang terlatih untuk memberi nasihat - dapat mendedahkan masalah yang asas dan membimbing anda dan pasangan ke jalan penyembuhan.

Hak Cipta © 2005 Beth J. Lueders, bethlueders.com. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa dijamin. Digunakan dengan izin.

Comments


bottom of page