![](https://static.wixstatic.com/media/f9523a_9c0fa8eab54e48b1a277fd76f3d06c93~mv2.png/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_90,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/f9523a_9c0fa8eab54e48b1a277fd76f3d06c93~mv2.png)
"Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan," Filipi 3:13 AVB
Paulus, meskipun telah melakukan banyak pekerjaan luar biasa, secara peribadi menyedari bahawa dia belum sepenuhnya mencapai matlamat hidupnya. Oleh itu, dia terus berusaha dengan gigih, melupakan apa yang di belakangnya, dan menumpukan perhatian kepada apa yang di hadapannya.
Kesedaran ini lahir daripada hubungan peribadinya yang mendalam dengan Tuhan Yesus Kristus. Pengenalan akan Kristus membuat Paulus menyedari siapa dirinya di hadapan Tuhan dan siapa Tuhan dalam hidupnya. Dengan rendah hati, Paulus mengakui bahawa dia "tidak menganggap diriku telah dapat mengambil [ganjaran itu]."
Bagaimanapun, satu perkara yang dilakukan Paulus ialah melupakan masa lalu dan terus berusaha dengan segenap tenaganya untuk mencapai matlamat hidupnya. Paulus tahu bahawa ganjaran tersebut, iaitu hidup kekal dalam Kristus, sudah tersedia bagi orang percaya yang taat setia.
Paulus mengibaratkan hidup ini sebagai satu perlumbaan, dan garis akhirnya ialah ketika kita meninggalkan dunia ini. Oleh itu, dia mengarahkan fokusnya kepada ganjaran yang telah disediakan oleh Tuhan di syurga.
Sebagai orang percaya, marilah kita juga mengarahkan perhatian kita sepenuhnya kepada matlamat yang telah ditetapkan Tuhan. Janganlah cepat berpuas hati dengan pencapaian kita di dunia ini, tetapi terus berusaha dan berlari terus sehingga akhir perlumbaan hidup kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi memohon kekuatan, kerendahan hati, dan bimbingan-Mu. Jangan biarkan aku lupa akan Engkau dalam perjalanan hidup ini, dan tidak sekali-kali menjadi sombong atas apa yang aku lakukan. Ajarlah aku untuk terus melihat-Mu sebagai sumber segala-galanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments