
"...Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dipuaskan." (Lukas 6:21a) AVB
Di dunia ini, pengikut-pengikut Yesus kerap kali mengalami pelbagai penderitaan kelaparan kerana mereka telah mengabdikan diri kepada pelayanan Tuhan. Namun, pada hari yang akan datang, Tuhan pasti akan memuaskan mereka. Terutamanya pada waktu kedatangan-Nya, mereka tidak lagi menderita kelaparan dan kehausan.
Oleh itu, mereka haruslah tetap setia dan bersemangat dalam mengerjakan pekerjaan Tuhan tanpa merasa lemah dan jemu tetapi melakukan pekerjaan itu dengan sepenuh hati, kerana seperti yang dikatakan dalam Injil Lukas: "...Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dipuaskan."
Sekarang, kita (pengikut-pengikut Yesus) mungkin lapar, tidak dikenyangkan seperti orang lain, dan kerap kali terbangun dengan perut yang kosong kerana kekurangan. Namun, kita haruslah belajar untuk berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Sebab pada waktu akan datang (di dunia yang baru), kita semua akan dipuaskan, kerana di sana tidak akan ada lagi penderitaan, kelaparan, dan kehausan.
Oleh itu, marilah kita terus bekerja untuk Tuhan, kerana apa sahaja yang kita kerjakan di dalam Tuhan pasti tidak akan sia-sia.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, memohon kekuatan agar Engkau memberikanku hati yang selalu bersyukur dalam segala keadaan. Ajarilah aku untuk selalu berpuas hati dengan apa yang aku miliki. Di dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments