top of page

Tuhan Itu Baik



Bermula di akhir tahun 2020 sehingga kini, dunia di landa oleh wabak virus corona (covid 19). Seluruh aspek kehidupan manusia sangat terkesan baik dari segi kesihatan, ekonomi mahupun sosial. Kita melihat kematian demi kematian melonjak dengan begitu pantas, sehingga kakitangan hospital bahkan pengali kubur pun tidak menang tangan. Seolah-olah malaikat maut bekerja dengan begitu keras dalam mengambil nyawa manusia melalui virus ini. Manusia bukan hanya sekadar dilanda oleh wabak virus corona tetapi juga oleh virus ketakutan yang mencengkam. Dalam keadaan sebegini, pernahkah kita tertanya-tanya apakah Tuhan masih ada dan masih mengawal segala sesuatu? Atau apakah ini telah ditakdirkan oleh Tuhan. Kalau ya, bukankah Tuhan itu baik? Kalau Dia baik, lalu mengapa keburukan, kemudaratan dan kematian ini terus melanda manusia? Apakah benar segala kebaikan dan keburukan datang daripada Tuhan?


“Tuhan itu baik kepada semua orang. Dan penuh rahmat terhadap segala yang dijadikannya (Mazmur 145:9).


“Sebab Tuhan itu baik, kasih setia-Nya untuk selama-lamanya, dan kesetiaan-Nya tetap turun temurun”. (Mazmur 100:5)


Firman Tuhan mengatakan bahawa Tuhan itu baik. Dan Dia baik untuk selama-lamanya. Itu adalah sifat-Nya yang kekal. Maka kalau Tuhan itu baik, bererti segala sesuatu yang baik datangnya daripada Tuhan. Tidak ada yang tidak baik, sebab tidak ada ketidak-baikan dalam Tuhan. Ketidak-baikan bukan berasal daripada Tuhan. Sekiranya ada ketidak-baikan dalam Tuhan maka Dia bukanlah Tuhan kerana ianya bertentangan dengan sifat-Nya bahawa dia adalah baik.


Tuhan tidak berdusta seperti manusia (Titus 1:2). Kerana itu apabila ada orang mengatakan bahawa semua yang terjadi adalah takdir Tuhan, saya akan bertanya, benarkah demikian? Kalau Tuhan baik, mengapa Dia mahu menimpakan apa yang tidak baik kepada manusia ciptaan-Nya? Mengapakah manusia harus menderita kerana sesuatu yang telah ditakdirkannya sejak awal lagi? Apakah Dia adalah Tuhan yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri? Apakah Dia Tuhan yang berdusta dengan diri-Nya sendiri? Yang dengan senang-senangnya mengubah janji-janjiNya? Sebab saya percaya jika Tuhan bertentangan dengan sifat diri-Nya sendiri, Dia bukan sahaja memudaratkan manusia tetapi diri-Nya sendiri, kerana ternyata dengan bertentangan dengan sifat-Nya Dia bukan Tuhan yang benar.


Jadi kalau kita percaya bahawa segala kebaikan itu datangnya daripada Tuhan, maka segala yang tidak baik itu datangnya daripada musuh Tuhan. Siapakah musuh Tuhan itu? Firman Tuhan mengatakan bahawa musuh Tuhan itu seperti pencuri yang datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan (Yohanes 10:10b).


Mari kita renungkan ke dalam diri kita sendiri, apakah Tuhan yang sedang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah kebaikan, atau musuh Tuhan yang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah yang mencuri, membunuh, dan membinasakan segala kebaikan baik dalam hidup kita mahupun kehidupan orang lain? Apakah niat hati kita, fikiran kita, imaginasi kita, tindak tanduk kelakuan kita mahupun tutur kata kita – adakah ia mengeluarkan segala sesuatu yang baik atau sebaliknya?


Hari ini marilah kita datang kepada Tuhan yang baik dan percaya bahawa Dia sentiasa menginginkan yang terbaik dan merencanakan kehidupan yang terbaik untuk kita. Marilah kita serahkan diri kita kepada-Nya untuk mengerjakan yang baik dan menghasilkan buah-buah yang baik dari dalam diri kita bagi kebaikan diri kita dan juga masyarakat sekeliling kita. Sebab “Kita tahu bahawa Tuhan mengatur segala hal, sehingga menghasilkan yang baik untuk orang-orang yang mengasihi Dia dan yang dipanggil-Nya sesuai rencana-Nya. (Roma 8:28).


Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal.


Amen.

Sue

Comments


bottom of page