Teks
Hakim-Hakim 16:27-30 (BM)
Bangunan itu penuh sesak dengan lelaki dan perempuan. Kelima-lima orang raja Filistin itu berada di sana. Di bumbung bangunan itu ada kira-kira tiga ribu orang lelaki dan perempuan. Mereka semuanya menonton Simson yang menghibur mereka. Kemudian Simson berdoa, "Ya TUHAN Raja, ingatlah akan aku. Tolonglah aku hanya sekali ini, ya Allah. Berilah aku kekuatanku semula supaya dengan tindakan ini aku dapat membalas dendamku terhadap bangsa Filistin yang telah mencungkil kedua-dua biji mataku." Selepas itu Simson memegang kedua-dua batang tiang yang menyangga bangunan itu. Sambil meletakkan tangan kirinya pada tiang yang satu dan tangan kanannya pada tiang yang lain, dia berseru, "Biarlah aku mati bersama-sama bangsa Filistin ini!" Kemudian dia menolak tiang-tiang itu dengan sekuat tenaganya, lalu bangunan itu pun roboh dan menimpa lima orang raja Filistin dan semua orang di situ. Simson juga meninggal, tetapi pada waktu kematiannya dia telah membunuh lebih banyak orang daripada masa hidupnya.
Pengajaran/Refleksi
Tuhan tetap menolong umat pilihan-Nya apabila mereka berdoa. Dia mendengar doa mereka, seperti mana Dia mendengar dan menjawab doa Simson. Simson, yang matanya telah dicungkil oleh musuhnya, merayu kepada Tuhan untuk kekuatan terakhir. Dengan kuasa Tuhan, Simson menjatuhkan bangunan yang menimpa kelima-lima raja Filistin dan kira-kira tiga ribu orang lainnya.
Firman Tuhan hari ini mengingatkan kita untuk datang kepada Tuhan yang Maha Kuasa, memohon pertolongan daripada-Nya, agar Dia dapat menolong kita mengalahkan semua musuh-musuh kita, sama ada dalam bentuk pencubaan atau masalah yang kita hadapi.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Kiranya Engkau mengajar dan memberkati setiap umat-Mu di mana saja kami berada. Dengarkan seruan kami ya TUHAN untuk kemuliaan bagi nama-Mu. Haleluyah dan Amen.
Rev. Ali Langgit
Comments