Tuhan Kita, Tuhan yang Penuh dengan Belas Kasihan
- Komuniti Digital 05
- 1 day ago
- 1 min read

'Apabila Tuhan melihat balu itu, Dia berbelas kasihan terhadapnya lalu Dia berkata :kepadanya, “Janganlah menangis.” ' (Lukas 7:13) AVB
Firman Tuhan ini menceritakan tentang seorang balu yang hanya memiliki seorang anak lelaki tunggal. Anak lelakinya itu merupakan harta paling berharga dalam hidup balu tersebut. Kehilangannya adalah satu kesedihan yang amat mendalam bagi wanita itu.
Dalam kesedihannya dan tangisannya atas kematian anak tunggalnya, dia tidak dibiarkan begitu sahaja. Tuhan Yesus mengetahui penderitaan yang sedang dialami oleh balu itu. Maka apabila Yesus melihat balu itu, hati-Nya tergerak dengan belas kasihan, lalu Dia berkata kepadanya, “Janganlah menangis.”
Kemudian, Tuhan Yesus menghampiri usungan mayat itu dan menyentuhnya. Maka mereka yang memikul usungan itu pun berhenti. Lalu Yesus berkata kepada pemuda yang telah mati itu, “Hai anak muda, Aku menyuruh kamu bangun!” Pemuda itu pun bangkit, duduk dan mula bercakap. Kemudian Yesus menyerahkan pemuda itu kembali kepada ibunya.
Tuhan mengenal setiap keadaan hidup kita dan sentiasa bersedia untuk menolong kita. Oleh itu, datanglah kepada-Nya memohon pertolongan, kerana Dia ialah Tuhan yang penuh dengan belas kasihan dan kasih-Nya tidak bersyarat. Dia mengasihi setiap seorang daripada kita dengan kasih yang kekal.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dengan penuh pujian dan kesyukuran kerana Engkau adalah Tuhan yang mengetahui keadaanku dan sentiasa bersedia untuk menolong aku. Ajarlah aku untuk sentiasa bersandar dan berserah kepada-Mu dalam segala perkara. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments