1 Samuel 2:2-5 (BM)
Tiada sesiapa pun yang suci seperti TUHAN; Dia tidak ada tandingan; hanya Allah kita yang dapat memberikan perlindungan. Hentikanlah cakap besarmu, jangan keluarkan cakap angkuh. Oleh sebab TUHAN itu Allah Yang Maha Tahu, Dia menghakimi segala perbuatan orang. Busur askar yang perkasa sudah patah, tetapi orang yang lemah menjadi perkasa. Orang yang dahulu kenyang, sekarang harus bekerja untuk mencari makan; tetapi yang dahulu lapar, sekarang menjadi kenyang. Isteri yang mandul melahirkan tujuh orang anak, tetapi ibu yang mempunyai banyak anak, ditinggalkan dan dibiarkan merana.
Pengajaran/Refleksi
TUHAN Allah kita Maha Suci. Tidak ada sesiapa pun seperti DIA dan tidak ada tandingan-Nya. Hanya DIA yang dapat memberikan pertolongan bagi kita umat-Nya. Makanya, apabila engkau mencari tempat berlindung, carilah TUHAN Allah kita.
Hai manusia, hentikanlah cakap besarmu. Jangan sombong atau angkuh! Sebab TUHAN Allah kita Maha Tahu yang menghakimi segala perbuatan semua orang, sama ada percaya kepada-Nya atau tidak.
Orang yang lemah akan menjadi perkasa. Orang yang dahulu kenyang sekarang boleh menjadi lapar, dan yang dahulu lapar sekarang menjadi kenyang. Begitu juga isteri yang mandul akan melahirkan tujuh orang anak, tetapi ibu yang mempunyai banyak anak akan ditinggalkan dan dibiarkan merana.
Maka, kita harus sentiasa bersyukur dan jangan sekali-kali menjadi sombong! Segala sesuatu ada musimnya.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini yang mengajar kami supaya kami tidak sombong. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Mereka yang sakit Engkau sembuhkan, yang lemah dikuatkan, dan yang ada masalah dibebaskan dalam nama Yesus Kristus! Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments