top of page

Wakil Kerajaan Allah (Bhg. 2)


Lukas 11:3 (Tb) Berikanlah Kami Setiap Hari Makanan Kami Yang Secukupnya


Kata kunci untuk renungan hari ini ialah "setiap hari". Menurut Luk 11:3, Yesus mengajarkan para murid untuk berdoa meminta makanan yang secukupnya untuk "setiap hari". Dengan kata lain, ada kecukupan yang khusus yang disediakan oleh Tuhan dalam setiap hari kita sesuai keperluan kita masing-masing. Hal ini menandakan bahawa kita tidak perlu bimbang tentang hari esok mahupun hari kemarin. Allah mahu kita memfokuskan perhatian kepada "hari ini" kerana hari esok mempunyai bekalannya yang tersendiri. Setiap hari kita sudah langsai atau lunas di mata Tuhan kalau dari segi kecukupan makanan.


Yesus tidak mengajarkan para murid untuk meminta makanan hanya untuk hari kemarin atau hari depan. Dia mengajarkan untuk meminta makanan pada "hari ini" tanpa ada kekangan hari kemarin atau hari esok. Ini terbukti di dalam siri ajaran doa yang sepadan di dalam Injil Matius 6:11; Berikanlah kami pada hari ini makanan kami yang secukupnya. Hal ini mendorong kita untuk tetap bersemangat dan berkobar-kobar menantikan hari esok kita kerana hari esok kita pasti akan menjelma menjadi "hari ini". Terpujilah nama Tuhan!


Namun hal yang sebaliknya berlaku di dunia kita pada masa kini. Ramai orang yang berasa lemah dan tidak bermaya untuk menghadapi hari esok. Ramai yang dilumpuhkan dengan kekhuatiran dan keragu-raguan tentang masa depan kerana ketidaktentuan banyak perkara dalam kehidupan harian. Hal ini bahkan mendorong sebahagian orang mengalami trauma atau panik. Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ini juga menyerang orang-orang percaya. Kesannya, ada sebilangan orang yang sepertinya ingin menghentikan waktu kerana tidak mahu masa berlalu begitu cepat. Mereka takut menghadapi hari esok.


Namun, Firman Tuhan hari ini menjadi jaminan bagi kita bahawa setiap hari kita sangat diperhatikan serta dititikberatkan oleh Tuhan. Tuhan menyediakan makanan yang secukupnya untuk "setiap hari" kita. Ini mewujudkan bukan saja pengharapan tetapi semangat dan kekuatan untuk menghadapi hari esok kita. Saya berdoa agar Firman Tuhan hari ini mematahkan segala kekhuatiran, keragu-raguan, trauma, panik dan apa pun jenis ketakutan yang anda alami tentang masa depan mahupun masa lalu. Hiduplah pada "hari ini".


Apa yang menjadi "makanan" bagimu pada hari ini? Makanan adalah keperluan asas manusia dan saya percaya "makanan" tidak tertumpu kepada makanan yang mengisi perut saja tetapi boleh merujuk kepada keperluan-keperluan asas manusia seharian yang lain. Allah akan memberi "makanan" mu secukupnya kerana sumber anda bukan dari dunia tetapi dari Kerajaan Allah. Anda wakil Kerajaan Allah!


Pr Roy Dinsim


Comments


bottom of page