top of page

Yesus Datang Untuk Menyelamatkan Orang Berdosa



Yesus menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.” Lukas 5:31 AVB


Sewaktu Matius mendengar Yesus memanggil dirinya untuk mengikut-Nya, dengan serta-merta dia bangun lalu meninggalkan pekerjaannya dan terus mengikut Yesus. Kemudian Matius mengadakan jamuan besar-besaran di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang  lain turut makan bersama-sama mereka.

 

Bagaimanapun, apabila orang Farisi dan ahli Taurat yang ada di situ menyaksikan peristiwa ini,  mereka mulai bersungut-sungut kepada para murid Yesus. Kelihatan Yesus makan bersama-sama dengan orang yang dianggap najis oleh mereka. Mereka pun bertanya kepada para murid Yesus, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama-sama dengan pemungut cukai dan orang berdosa?” 

 

Menurut pandangan orang Farisi dan ahli Taurat, sesiapa yang bekerja sebagai pemungut cukai merupakan golongan yang sangat hina dan najis. Sebab  sebagai pemungut cukai, mereka banyak menipu dan memeras orang. Disebabkan kerja mereka yang disifatkan keji, maka mereka dihina dan dipandang rendah.

 

Memandangkan sikap orang Farisi dan guru Taurat terhadap pemungut cukai,  Yesus berkata kepada mereka, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.  Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.” 

 

Sebenarnya, Yesus tahu bahawa orang Farisi dan guru Taurat menganggap diri mereka benar dan orang lain berdosa. Oleh itu, Yesus memberitahu mereka bahawa kedatangan-Nya ke dunia ini adalah untuk mencari dan menyelamatkan orang  berdosa.

 

Sesungguhnya, Yesus datang ke dunia ini, bukanlah untuk orang yang menganggap diri mereka benar tetapi demi orang  berdosa. Sebab orang yang menganggap dirinya benar tidak memerlukan Tuhan tetapi orang yang menyedari dirinya berdosa memerlukan Tuhan bagi hidupnya.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk mengucapkan syukur kerana Engkau datang ke dunia ini semata-mata untuk menyelamatkan aku yang berdosa ini.  Engkau tidak mahu diriku binasa atas dosaku. Oleh itu, Engkau datang agar aku diselamatkan. Terima kasih, ya Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page