top of page

Yesus Disembah Dan Dia Menerimanya


Apa bukti dari Alkitab menunjukkan Yesus disembah dan Dia menerimanya?


  1. Penyembahan daripada Ahli Ilmu Bintang (Orang Majus):


Ketika Yesus dilahirkan, beberapa orang ahli ilmu bintang (orang Majus) dari Timur datang ke Yerusalem untuk mencari Raja orang Yahudi yang baru lahir. Mereka sujud menyembah-Nya dan mempersembahkan emas, dupa dan mir. (Matius 2:1-12). Yesus tidak menolak sembah sujud mereka.


2. Penyembahan daripada Penghidap Penyakit Kusta:


Dalam Matius 8:2, seorang penghidap penyakit kusta datang kepada Yesus dan berkata, “Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.” Yesus menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu demi menyembuhkannya. Penghidap penyakit kusta yang bersujud di hadapan Yesus mengakui kekuasaan ilahi-Nya.


3. Penyembahan daripada Yairus, Ketua Saumaah:


Yairus, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan Yesus lalu merayu kepada-Nya untuk menyembuhkan anak perempuannya yang sakit tenat dan hampir mati (Markus 5:22-23). Yesus bertindak dengan berangkat ke rumah Yairus dan membangkitkan anak perempuan itu daripada kematian. Yairus menyembah Yesus dengan penuh kesyukuran.


4. Penyembahan daripada lelaki buta yang Disembuhkan oleh Yesus:


Dalam Yohanes 9:38, selepas Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang dilahirkan buta, dia berseru, “Ya Tuhan, aku percaya.” dan sujud kepada-Nya.


5. Ahad Palma dan ketibaan Yesus di Yerusalem bagaikan Raja:


Semasa ketibaan Yesus di Yerusalem (Ahad Palma), orang ramai menyelerakkan ranting-ranting pokok (palma) dan membentangkan jubah mereka di atas jalan, lalu berseru-seru “Hosana bagi Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” (Matius 21:9) Ini merupakan satu tindakan penyembahan terhadap Yesus.


6. Kebangkitan Yesus dan Tomas yang Keraguan:


Selepas kebangkitan-Nya, Yesus menampakkan diri-Nya kepada murid-murid-Nya. Tomas yang keraguan berkata “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (Yohanes 20:28). Yesus tidak membetulkan Tomas tetapi mengeyakan pengakuan Tomas.


7. Sembah/Penyembahan Surgawi:


Dalam Wahyu 5:8-14, penglihatan Yohanes mengenai sembah/penyembahan surgawi menunjukkan Anak Domba (Yesus) disembah oleh malaikat-malaikat, para tua-tua, dan setiap makhluk di syurga dan di bumi.


Ringkasnya, Yesus menerima penyembahan daripada pelbagai individu semasa pelayanan-Nya di bumi. Tindak balas-Nya terhadap penyembahan mereka berlainan,  tetapi Dia tidak pernah menolaknya. Keilahian dan kekuasaan-Nya terakui melalui penyembahan yang dirafakkan oleh mereka yang bertemu dengan-Nya.

Comentarios


bottom of page