
Yesus menambah, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.” Lukas 4:24 AVB
Pada suatu hari Sabat Yesus berdiri di saumaah (rumah ibadat) untuk membaca Kitab Suci yang berisi perkhabaran daripada Kitab Nabi Yesaya tentang kedatangan Mesias. Lalu Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:
“Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah mengurapi Aku untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, kelepasan bagi orang yang tertindas, dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan!”
Setelah selesai membaca ayat tersebut, Yesus berkata kepada mereka yang mendengar-Nya, “Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya.” Namun demikian, terdapat dua respons daripada orang yang mendengar kata-kata indah-Nya itu. Golongan pertama sangat kagum, tetapi golongan kedua ragu-ragu.
Sebab mereka mengenal siapa ibu bapa Yesus, justeru mereka berkata, “Bukankah Dia anak Yusuf?” Maka mereka menolak pemberitaan Yesus, malah mereka mula merancang untuk membunuh-Nya. Jelaslah bahawa kata-kata-Nya menimbulkan kebencian dan kemarahan di dalam hati mereka.
Walaupun mereka orang sekampung (orang Nazaret) dengan-Nya, mereka tidak menerima pemberitaan-Nya tentang penggenapan nubuat Nabi Yesaya tentang diri-Nya. Mereka bangkit dan mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah. Akan tetapi, rancangan mereka gagal, kerana terlalu banyak orang di sekeliling Yesus. Oleh itu, Yesus dapat berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ. Mereka tidak dapat menangkap Yesus!
Atas penolakan mereka, Yesus menambah, “ Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.” Oleh itu, jika kita ditolak semasa kita mengkhabarkan berita baik kepada keluarga kita atau kawan kita, ingatlah bahawa Yesus juga telah ditolak dan dibenci tetapi tidak menyerah sama sekali, kerana pembawa berita baik akan diberkati Tuhan.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon kekuatan daripada-Mu. Walaupun pemberitaanku tentang-Mu mungkin ditolak, teguhkanlah imanku. Biarlah semangatku tidak menjadi luntur tetapi bertambah kuat. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comentarios