Yesus Menerima Jemputan Simon
- Komuniti Digital 05
- 1 day ago
- 2 min read

'Salah seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus masuk ke rumah orang Farisi itu lalu duduk bertelekan di meja. ' (Lukas 7:36) AVB
Siapakah Simon? Dia ialah seorang Farisi. Nama “Farisi” bermaksud "terpisah" atau "berbeza". Mereka merupakan murid-murid dalam kalangan orang Yahudi yang bijaksana, yang menjauhkan diri dan menyatakan bahawa mereka memelihara hukum-hukum kesucian dengan ketat. Mereka mempunyai banyak amalan keagamaan dan mempercayai kehidupan masa depan yang disertai ganjaran dan hukuman.
Pada suatu hari, Yesus dijemput oleh Simon, seorang Farisi, untuk datang makan di rumahnya. Yesus menerima jemputan Simon tanpa memberikan banyak alasan. Walaupun Yesus tahu siapa Simon dan bagaimana tanggapan orang ramai terhadapnya, namun bagi Yesus, Simon adalah seorang yang penting bagi-Nya. Itulah sebabnya Dia datang ke rumah Simon, lalu makan dan minum bersama Simon serta beberapa orang Farisi yang lain.
Bagi Yesus, keselamatan jiwa seseorang merupakan perkara yang sangat penting dalam hidup-Nya. Oleh sebab itu, apabila Simon menjemput-Nya ke rumah, Yesus serta-merta menerima jemputan tersebut. Kerana bagi Yesus, keselamatan jiwa mereka adalah perkara yang utama. Itulah sebabnya Yesus bersedia untuk duduk dan makan bersama Simon dan orang Farisi, meskipun Dia tahu bahawa mereka tidak benar-benar peduli terhadap-Nya.
Bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Adakah kita memiliki hati seperti Yesus, yang melihat keselamatan jiwa seseorang sebagai perkara yang paling utama berbanding hal-hal lain? Oleh itu, marilah kita memeriksa hati dan diri kita pada hari ini.
Bagi Tuhan, setiap orang adalah penting dan berharga di hadapan-Nya.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu, menyerahkan diriku kepada-Mu dan memohon pengampunan daripada-Mu. Sekiranya aku berdosa di hadapan-Mu, ampunilah aku. Ajarlah aku untuk mengasihi semua orang, seperti Engkau mengasihi aku. Di dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments