
Yesus meninggalkan saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas, dan mereka memohon kepada Yesus untuk menolongnya. Lukas 4:38 AVB
Ada orang memberitahu Yesus bahawa ibu mertua Simon Petrus sedang sakit di rumah, iaitu dia demam panas. Mereka memohon kepada Yesus untuk menolongnya. Oleh itu, Yesus segara meninggalkan saumaah (rumah ibadat) lalu pergi ke rumah Simon Petrus untuk bertemu dengan ibu mertuanya.
Setibanya Yesus di rumah Simon Petrus, Dia segera pergi mendekati katil ibu mertua Petrus yang sedang sakit. Dia membentak demam itu untuk meninggalkan tubuh ibu mertua Petrus. Dengan serta-merta demam panas ibu mertua Petrus hilang. Setelah sembuh, dia segera bangun dan melayan mereka.
Apakah yang akan kita lakukan apabila kita melihat seseorang sedang menghadapi masalah pada hari ini? Apakah kita bertindak seperti orang yang datang kepada Yesus untuk memberitahu-Nya tentang keadaan ibu mertua Simon Petrus yang sedang sakit?
Oleh sebab ada orang pergi memberitahu Yesus tentang keadaan ibu mertua Petrus, maka penyembuhan terjadi. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Sekiranya kita membawa orang yang menghadapi masalah ke hadirat Tuhan melalui doa kita, pastinya sesuatu yang ajaib juga akan terjadi.
Sesungguhnya, janganlah kita tawar hati atau berputus asa untuk membawa orang yang mengalami masalah dalam doa kita kepada Tuhan Yesus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Tuhan menggunakan hidupku sebagai saluran berkat kepada orang lain. Berilah aku hati yang teguh berdoa demi orang lain tanpa berasa letih atau jemu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments