top of page

Yesuslah Tuhan Atas Hari Sabat



Pada hari Sabat Yesus berjalan melalui ladang gandum dan murid-murid-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya. Lukas 6:1 AVB


Pada suatu hari Sabat, ketika Yesus dan murid-murid-Nya sedang melalui ladang gandum, murid-murid-Nya itu memetik bulir gandum, menggosok bulir gandum itu dengan tangan lalu memakannya.


Beberapa orang Farisi nampak apa yang dilakukan mereka. Dengan itu, orang Farisi berkata kepada murid-murid Yesus, “Mengapakah kamu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?”


Apabila terdengar pertanyaan orang Farisi, Yesus menjawab kepada mereka tentang apa yang pernah dilakukan oleh Raja Daud dengan berkata, “Tidakkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan mereka yang mengikutinya berasa lapar: bagaimana dia masuk ke dalam Rumah Allah lalu makan roti persembahan serta memberikan roti itu kepada mereka yang mengikutinya, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu?”


Apa yang hendak disampaikan Yesus kepada mereka bukanlah tentang soal memelihara peraturan Taurat sahaja tetapi tentang kelangsungan hidup. Sekiranya mereka berupaya mengikut peraturan Taurat yang ditetapkan tetapi tubuh mereka binasa, apalah gunanya! Oleh itu, Yesus ingin berkata kepada mereka tentang pentingnya penjagaan jasmani.


Hal ini memberitahu kita tentang kesinambungan hidup kita di dunia ini, iaitu seseorang itu perlu mengatur waktunya dengan hal yang berfaedah dan bukan membiarkan waktu yang menguasai atau mengurus hidupnya. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat!”


Umat Israel berhenti bekerja pada hari Sabat untuk mengikut teladan Allah. Mereka merayakan hari Sabat untuk memperingati pekerjaan besar Allah yang telah melepaskan mereka daripada perhambaan Mesir, selain bersyukur kepada Tuhan atas kebaikan dan kebesaran-Nya.


Dengan itu, sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus, kita harus menggunakan hari Sabat kita untuk melakukan hal-hal yang memuliakan nama Tuhan, dan bukanlah untuk memenuhi tuntutan peraturan yang telah ditetapkan. Selain itu, kita haruslah didorong oleh kasih kita kepada Tuhan ketika melakukan setiap perkara.


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi menyerahkan seluruh hidupku ke dalam tangan-Mu. Ajarlah aku untuk melakukan segala perkara dalam hidupku berdasarkan kasihku kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comentarios


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page