"Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maria." (Matius 1:24 AVB)
Ketika Yusuf bangun daripada tidurnya, dia pun melakukan apa yang diperintahkan Tuhan melalui malaikat Tuhan kepadanya. Dia dengan segera menikahi Maria, namun tidak bersetubuh dengannya sehingga Maria melahirkan Yesus.
Pada zaman Yusuf, seorang gadis yang hamil sebelum bernikah membawa aib besar dan akan dijatuhi hukuman mati (Ulangan 22:23, 24). Sebab dalam kebudayaan orang Yahudi, tiga tahap perkahwinan diiktiraf. Pertama, keputusan bertunang dibuat atas persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Kedua, keputusan ini akan diumumkan kepada orang ramai lalu terikatlah tali pertunangan. Namun begitu, pasangan itu belum boleh bersetubuh. Pada tahap ketiga barulah kedua-duanya boleh hidup bersama.
Jadi, apa yang terjadi kepada pertunangan Yusuf dan Maria ialah mereka belum sampai kepada tahap ketiga. Oleh itu, menurut hukum Taurat yang diamalkan oleh orang Yahudi, wanita yang hamil sebelum perkahwinan (perzinaan) akan menerima hukuman mati (direjam hingga mati).
Oleh sebab Yusuf mematuhi perintah Tuhan, dia menerima Maria sebagai isterinya, namun dia tidak bersetubuh dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak. Secara manusiawi, Yusuf boleh menceraikan Maria, tetapi atas perintah Tuhan melalui malaikat-Nya, Yusuf mengambil Maria sebagai isterinya.
Apakah halangan yang sedang anda hadapi demi mengikut perintah Tuhan dalam hidup anda hari ini? Marilah datang kepada Tuhan, minta bimbingan-Nya, dan patuhi apa yang diperintahkan Tuhan kepada kita. Yakinlah bahawa Tuhan pasti akan memimpin kita kepada hal-hal yang baik bagi hidup kita.
Janganlah ragu-ragu akan perintah Tuhan dalam hidup kita, kerana Tuhan mengetahui apa yang baik bagi masa depan kita. Dengan itu, patuhilah apa yang diperintahkan-Nya kepada kita.
Doa:Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu. Ajarlah aku untuk mentaati perintah-Mu dan pakailah aku selagi aku masih hidup untuk menjadi berkat. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments